Jejas alam sekitar, nelayan, NGO gesa PM campur tangan projek tambak laut Pulau Pinang

Jejas alam sekitar, nelayan, NGO gesa PM campur tangan projek tambak laut Pulau Pinang

KM Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mendakwa Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) sudah meluluskan projek berkenaan yang dikenali sebagai projek tebus guna tanah Selatan Pulau Pinang.

Projek berkeluasan hampir 17 kilometer persegi dengan 3 pulau akan ditebus guna di perairan Permatang Damar Laut, berdekatan Bayan Lepas.
PETALING JAYA:
Badan bukan kerajaan (NGO) menolak pelaksanaan projek tebus guna tanah Selatan Pulau Pinang (PSR) dan menggesa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad campur tangan kerana projek itu dijangka memberi kesan buruk kepada biodiversiti dan kehidupan nelayan di kawasan berhampiran.

Ahli jawatankuasa pemandu Penang Forum, Khoo Salma Nasution mendakwa beliau sudah banyak kali mendengar hasrat ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di Pulau Pinang mahu membangkitkan perkara berkenaan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, namun sehingga hari ini masih tiada jawapan diberikan.

“Kami ada banyak soalan berkaitan projek ini, namun belum dapat jawapan memuaskan. Setiap sidang DUN akan ada Adun bertanya, tetapi kini kebanyakannya sudah berdiam diri.

“Ia membabitkan masa depan kami. Apa yang mereka lakukan ini menjejaskan alam sekitar. Apabila alam sekitar tercemar, kesan dan akibatnya akan menimpa kita juga. Secara tidak langsung sudah tentunya akan memberi pencemaran laut,” katanya dalam sidang media yang turut dihadiri beberapa NGO lain, hari ini.

Terdahulu Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) sudah meluluskan projek berkenaan, yang dikenali sebagai Projek Tebus Guna Tanah Selatan Pulau Pinang (PSR).

Projek itu berkeluasan hampir 17 kilometer persegi dengan 3 pulau masing-masing seluas 9.3, 4.45 dan 3.23km persegi yang akan ditebus guna di perairan Permatang Damar Laut, berdekatan Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Tanah ditebus guna itu adalah milik kerajaan negeri, tetapi akan dilelong kepada pembida tertinggi untuk membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 bilion.

PTMP dijangka meliputi beberapa lebuh raya, sistem Transit Aliran Ringan (LRT) dan pengangkutan lain yang akan dibina dalam tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang.

Khoo pada masa sama turut mempersoalkan tindakan Chow yang bersetuju dengan pelaksaan projek PRS itu, namun tidak melakukan sebarang usaha membangunkan hartanah dimiliki kerajaan negeri di Batu Kawan dan Seberang Perai.

“Kami merayu perdana menteri kaji semula projek ini dan siapakah yang akan mendapat manfaatnya, adakah pemaju atau golongan B40.

“Kenapa kerajaan negeri tidak memajukan hartanah yang dipunyai kerajaan di Batu Kawan dan Seberang Perai. Sedangkan janji ketua menteri masa depan Pulau Pinang adalah di Seberang Perai,” katanya.

Sebelum ini Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, PSR hanya boleh dilaksanakan selepas kerajaan negeri memenuhi semua 18 nasihat yang dikemukakan MPFN.

Aktivis mewakili Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) Hafizudin Nasaruddin turut memberitahu, keputusan Pulau Pinang melaksanakan PSR turut akan menjejaskan nelayan di sekitar Perak, khususnya nelayan di Perak Utara.

“Akan wujud hakisan pantai yang akan menghakis pokok seperti bakau. Apabila pokok terhakis, hidupan laut seperti kerang, ketam dan ikan turut akan terjejas. Lama kelamaan sumber makanan ini tidak akan ada lagi di kawasan berkenaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.