Saksi: PATI diajar tipu imigresen berhubung penyeludupan manusia

Saksi: PATI diajar tipu imigresen berhubung penyeludupan manusia

Mohd Amir Othman berkata PATI yang ditahan bersubahat dengan ketua sindiket penyeludupan manusia di sempadan Malaysia-Thailand.

Saksi ke-30, Mohd Amir Othman ketika hadir RCI kes penemuan kem penyeludupan manusia dan kubur besar di Wang Kelian.
PUTRAJAYA:
Bekas pengarah imigresen Perlis, Mohd Amir Othman berkata kesukaran untuk mendapatkan maklumat mengenai penyeludupan manusia disebabkan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan bersubahat dengan ketua sindiket.

Beliau berkata PATI terbabit diajar untuk menipu dan memberi kenyataan yang hampir sama apabila disoal siasat imigresen.

“Sepanjang pengalaman saya bertugas di imigresen, kita sukar dapat kerjasama dari PATI ini untuk memberi bantuan dari segi maklumat.

“Mereka sudah diajar atau diaturkan untuk bercakap dengan kita bila siasatan dibuat. Mereka akan kata datang ke Malaysia melalui ejen yang dibayar di Myanmar dan akan kata datang secara sukarela dan bukan dipaksa,” katanya yang mengakui kebanyakan PATI yang ditangkap adalah daripada Myanmar.

Amir berkata demikian dalam sesi pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dalam kes penemuan kem penyeludupan manusia dan kubur besar di Wang Kelian, Perlis.

Amir merupakan saksi ke-30 RCI yang diadakan di Dewan Gemilang Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya yang memasuki hari ke-10 hari ini.

Saksi itu tampil memberi keterangan di depan 7 panel RCI yang diketuai bekas ketua hakim negara, Arifin Zakaria selaku pengerusi.

Amir berkata PATI yang masuk ke Malaysia ada yang datang seperti dirancang untuk mendapatkan kad Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR).

Beliau berpandangan, PATI itu sengaja mahu ditangkap supaya dapat tinggal di depot imigresen.

“Sebab mereka tahu kalau tinggal di depot lebih senang. Lepas itu pula bila dah dapat kad UNHCR dia akan dilepaskan.

“Saya rasa itu salah satu. Tarikan orang luar datang. Jadi bila yang lain dengar, mereka akan datang. Sebab di depot, kadang-kadang kita dapat maklumat dia terjumpa saudara dia. Kadang bila ditahan, saudara dia akan datang jumpa kita bawa UNHCR,” katanya.

Pada 2015, negara dikejutkan dengan penemuan 147 kubur dan 28 kem pemerdagangan manusia yang ditinggalkan di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, di sempadan Malaysia-Thailand.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.