Kartel dedak: MB Terengganu ‘kunci mulut’

Kartel dedak: MB Terengganu ‘kunci mulut’

Ahmad Samsuri Mokhtar menghormati arahan PAS agar ahli tidak membawa, membincang dan membahaskan sebarang isu membabitkan parti kepada media.

Ahmad Samsuri Mokhtar enggan enggan memberi sebarang maklumat balas berhubung isu ‘kartel dedak’. (Gambar Bernama)
KUALA TERENGGANU:
Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar mengambil sikap “mengunci mulut” dan enggan memberi sebarang maklumat balas berhubung isu “kartel dedak”.

Beliau berkata ia bagi menghormati arahan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan agar tiada ahli parti itu yang membawa, membincang dan membahaskan sebarang isu membabitkan urusan parti dalam semua bentuk media, berkuatkuasa serta-merta.

“Saya akur dengan larangan itu perkara berkaitan parti tidak boleh diulas buat masa ini… jadi saya tak boleh ulas lagi lah,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan EXCO, hari ini.

Beliau juga tidak mahu mengulas lanjut mengenai poster “Kartel Dedak PAS” yang memaparkan gambar beliau bersama Ketua Penerangan PAS Nasruddin Hassan, Ahli Parlimen Kuala Nerus Mohd Khairuddin Aman Ghazali, AJK PAS Pusat Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan Ketua Pemuda PAS, Khalil Abdul Hadi.

Poster itu bagaimanapun disifatkan sebagai palsu oleh menantu presiden PAS Zaharudin Muhammad, sebaliknya Zaharudin mengaitkan poster itu dengan Amanah.

Ditanya sama ada Ahmad Samsuri mahu membuat sebarang penafian berhubung perkara itu, beliau berkata “sama ada saya nak nafi ke atau apa-apa pun biarlah saya bercakap dengan pihak parti dulu. Biar saya tak bercakap, kunci mulut… berpuasa,” katanya dengan nada bergurau kepada media.

Isu itu menjadi panas apabila Zaharudin mendedahkan wujudnya “kartel dedak” dipercayai merujuk kepada kumpulan dalam PAS yang didakwa menerima dana daripada pihak tertentu.

Susulan pendedahan itu, Zaharudin yang juga bekas ahli Majlis Syura Ulama PAS, akan dihadapkan kepada Jawatankuasa Disiplin parti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.