
Menjelaskan kekeliruan berhubung dakwaan bahawa anggota SB dilarang menghadiri acara parti atau kerajaan, beliau berkata, satu-satunya syarat ialah mereka perlu memperkenalkan diri sebagai anggota polis.
“Kita tidak boleh terima orang hadir ke acara tertentu dengan mendakwa mereka wartawan. Itu mengelirukan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menteri pertanian dan industri makanan negeri Sabah itu berkata, ada kejadian orang yang tidak dikenali hadir sidang media yang diadakan dengan berpura-pura sebagai pemberita.
Wong sebelum ini berkata, pegawai Cawangan Khas tidak dibenarkan menghadiri mana-mana sidang media jika mereka tidak dijemput.
Beliau juga berkata, mereka perlu memohon untuk hadir, selain memperkenalkan diri.
Wong berkata, walaupun sebelum ini adalah menjadi kebiasaan polis menghantar anggota SB ke majlis anjuran kerajaan dan pembangkang, tetapi Warisan memutuskan untuk menghentikan amalan itu.

Bagaimanapun Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador sebelum itu mempertahankan kehadiran anggota SB ke acara kerajaan dengan berkata tujuan mereka ke situ adalah bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan awam.
Hamid berkata, SB tidak akan berminat (untuk hadir) sekiranya sesebuah parti mengadakan aktiviti di premisnya sendiri, tetapi akan hadir jika acara itu diadakan di tempat awam.
Dalam pada itu, Wong menafikan bahawa insiden anggota SB dihalang menghadiri sidang media pemimpin Warisan sentiasa berlaku, sebaliknya berkata, sejauh pengetahuannya, ia hanya berlaku 1 atau 2 kali.
Beliau berkata, semua orang, termasuk SB adalah dialu-alukan hadir ke acara Warisan dan kerajaan.
“Kami tidak menghalang orang ramai ke acara kami,” katanya.
Beliau berkata, sidang media merupakan acara khusus yang diadakan dari masa ke masa bagi memaklumkan, antara lain, rancangan kerajaan kepada orang ramai.
“Sidang media bukan rahsia. Ia memang untuk umum.”
Ahli Dewan Undangan (Adun) Tanjung Aru itu berkata, pengamal media sebenar kadang-kadang gagal mendapat ruang yang disediakan di meja media pada acara tertentu kerana ia disi oleh anggota SB.
“Sesetengah media mengadu tentang perkara itu, tetapi atas dasar menghormati, mereka tidak meminta individu yang tidak mewakili media itu supaya mengosongkan tempat berkenaan,” katanya
“Pengamal media sebenar akhirnya terpaksa berdiri atau meninggalkan majlis.