PPBM ialah pengorbanan, bukan kejar jawatan, Dr M sekali lagi berpesan

PPBM ialah pengorbanan, bukan kejar jawatan, Dr M sekali lagi berpesan

Pengerusi PPBM sedar ada ahli parti kecewa kerana tidak mendapat apa-apa jawatan selepas menang PRU-14.

PUTRAJAYA: Dr Mahathir Mohamad sekali lagi mengingatkan partinya bahawa perjuangan PPBM bersandarkan pada pengorbanan dan bukan mengejar jawatan, menjawab ahli-ahli parti yang kecewa setahun selepas Pakatan Harapan menang pilihan raya umum ke-14.

Pengerusi PPBM itu berkata tujuan utama menyertai parti pribumi itu bukan untuk mendapatkan ganjaran, sebaliknya untuk berkorban demi bangsa, agama dan tanah air.

“Ramai ahli parti rasa kecewa tak beri sesuatu kepada mereka. Kita tak dapat beri jawatan kerana terhad bilangannya,” katanya ketika berucap di majlis berbuka puasa PPBM di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya malam tadi.

“Tapi percayalah dengan adanya pemimpin yang terpilih, negara akan lebih makmur membangun dan semua ini akan beri nikmat kepada kita semua.”

Veteran politik berusia 93 tahun itu juga mengingatkan ahli-ahli partinya, bahawa PPBM, selaku parti pemerintah, tidak boleh menyalahgunakan kuasa untuk beri kekayaan dan kedudukan kepada para penyokong.

“Ada yang kecewa apabila berhempas pulas jatuhkan kerajaan kleptokrasi, tetapi tidak dapat apa-apa layanan,” katanya.

“Tetapi saya percaya, kalau kita jadi parti yang bersih, rakyat akan memberikan sokongan kepada kita, negara akan jadi lebih maju, dan akhirnya dapat sesuatu bagi diri kita.”

Mahathir turut menyentuh menengani “kemenangan cemerlang” Pakatan Harapan pada pilihan raya kecil Parlimen Sandakan baru-baru ini.

Beliau berkata kemenangan itu hasil sokongan padu parti-parti di Sabah walaupun tidak ramai keluar mengundi.

“Rakyat lebih utamakan dan pandang tinggi parti yang dianggotai pemimpin yang sanggup berkorban untuk bangsa, agama dan tanah air,” katanya.

Pengerusi PPBM itu sempat mengingatkan bekas-bekas pemimpin Umno yang diterima masuk PPBM, khususnya di Sabah, supaya tidak melakukan kesilapan pemimpin parti lama mereka.

“Kalau semua yang baru masuk ini sedar bahawa parti ini parti yang berkorban untuk bangsa, agama dan negara, mereka akan menahan hati dan tidak melakukan sesuatu yang memburukkan imej negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.