Indonesia keluar nasihat perjalanan selepas Singapura sahkan jangkitan cacar monyet

Indonesia keluar nasihat perjalanan selepas Singapura sahkan jangkitan cacar monyet

Indonesia menasihati rakyatnya bertenang dan memantau perkembangan situasi berkaitan menerusi media dan laman sesawang Kementerian Kesihatan Singapura.

Seorang rakyat Nigeria yang berkunjung ke Singapura minggu lalu disahkah dijangkiti cacar monyet. (Gambar Facebook)
JAKARTA:
Indonesia menasihati rakyatnya di Singapura agar bertenang dan memantau rapi perkembangan situasi berkaitan menerusi media dan laman sesawang Kementerian Kesihatan negara itu selepas pengesahan 1 kes cacar monyet di Singapura, lapor agensi berita China Xinhua.

Pada 9 Mei, Kementerian Kesihatan Singapura melaporkan kes pertama cacar monyet di negara itu.

Seorang rakyat Nigeria yang dipercayai memakan daging seekor haiwan liar dijangkiti virus cacar monyet, menurut Kementerian Luar Indonesia dalam satu kenyataan pada Isnin.

“Bagi rakyat yang telah atau akan ke negara-negara timur tengah dan Afrika Barat, kami menggesa mereka untuk mengelak sentuhan langsung dengan kulit atau bangkai haiwan yang dijangkiti, dan jangan makan daging haiwan liar seperti monyet, buaya, ular dan lain-lain,” kata kementerian itu.

Rakyat Nigeria berusia 38 tahun itu, yang tiba di Singapura pada 28 April, disahkan positif dijangkiti virus cacar monyet pada 8 Mei.

Penyakit cacar monyet disebabkan oleh virus yang ditularkan kepada manusia daripada haiwan. Penyakit ini akan menyebabkan demam, sakit otot, sakit belakang, ruam kulit dan bengkak nodus limfatik.

Dalam sesetengah kes, virus itu boleh mencetuskan komplikasi serius seperti pneumonia, sepsis, keradangan otak dan kehilangan penglihatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.