
SIS dalam satu kenyataan mahu Jaheik menghentikan operasi mengawasi dan memanggil wanita-wanita kerana pakaian mereka, serta membatalkan nama-nama mereka yang diberi notis hadir ke sesi kaunseling.
“Obsesi untuk mengawal pakaian wanita perlu dihentikan. Bukan sahaja ia memalukan dan merendahkan nilai wanita, dorongan kuat untuk mengawal pakaian wanita membayangkan wanita itu cacat dari segi mental, fizikal dan kerohanian dan bahaya kepada moral masyarakat,” katanya.
SIS mengulas laporan New Straits Times hari ini di mana 39 wanita diberi notis kerana berpakaian seksi dan berkelakuan tidak sopan di khalayak ramai di bulan Ramadan dalam suatu operasi yang dijalankan semalam.
Wanita-wanita berkenaan perlu menghadiri sesi kaunseling yang ditetapkan Jaheik, dan jabatan itu akan terus melaksanakan operasi seperti itu dari semasa ke semasa bagi menangkap mereka yang menyalahi undang-undang syariah.
SIS menggesa Jaheik mengambil usaha memahami realiti seluruh masyarakat bawah bidang kuasanya, serta penyebab-penyebab sistemik penyakit masyarakat.
“Yang tidak berpunca daripada bagaimana wanita memilih untuk berpakaian,” katanya.