Hadi nafi restu menantu dedah ‘kartel dedak’

Hadi nafi restu menantu dedah ‘kartel dedak’

Presiden PAS berkata dakwaan beri restu 'tidak betul' dan 'tidak timbul'.

AMPANG: Presiden PAS, Abdul Hadi Awang hari ini nafi membenarkan menantunya, Zaharudin Muhammad mendedahkan kewujudan “kartel dedak” dalam PAS, seperti yang didakwa oleh Zaharudin di Facebook semalam.

“Perkara restu tak betul, tak timbul. Tak ada restu,” katanya di satu majlis berbuka puasa bersama media malam tadi.

Hadi menjelaskan isu pendedahan itu “kes lama” dan sudah selesai di mahkamah, dan pimpinan PAS maklum akan perkembangan terbaru isu itu.

“Kita terima aduan dari salah satu pemimpin. Akan serahkan kepada jawatankuasa tatatertib PAS,” katanya.

Zaharudin sebelum ini membangkitkan isu rakaman audio Ahli Parlimen Bachok, Nik Abduh Nik Abdul Aziz bercakap mengenai dakwaan Umno memberi dana kepada PAS, dan mengkritik kumpulan yang digelar “kartel dedak”.

Beliau seterusnya mendakwa pengkritik cuba memujuk Hadi mengarahkannya menarik balik dakwaan itu.

“Tok guru restu dan saya tak tarik tulisan itu sampai sekarang,” katanya semalam.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan berkata Zaharudin akan dipanggil untuk membuat penjelasannya berhubung kenyataannya itu.

“Apa maklumat dia dan apa tujuan dia dan betul ke dia yang buat kenyataan itu dan sebagainyalah,” katanya.

Dalam pada itu, Hadi enggan mengulas ketika ditanya pemberita adakah pendedahan Zaharudin itu ada kaitan dengan pemilihan PAS yang akan diadakan pada Jun ini.

“Itu bukan hal saya. Tanya Zaharudin, kalau dia nak bertanding,” katanya.

Sementara itu, Takiyuddin mengumumkan mesyuarat agung PAS akan bersidang pada 21 hingga 23 Jun di Indeka Mahkota, Pahang.

Beliau mengesahkan pemilihan pimpinan pusat PAS akan diadakan dalam tempoh tersebut.

“Wanita PAS ada pemilihan pada 15 Jun, Pemuda PAS pada 19 Jun dan Dewan Ulama pada 20 Jun. Semua di Kuantan,” katanya.

Sementara itu, Takiyuddin enggan mengulas lanjut kenyataannya menggelar Presiden PKR, Anwar Ibrahim “bekas banduan”.

Beliau berkata dia akan memberi keterangan kepada polis jika dipanggil.

“Yang saya tahu ada beberapa laporan polis dah dibuat mengenai itu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.