
Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, Malaysia perlu dibangunkan pemimpin berakhlak murni yang akan mencorakkan rakyat dengan sikap mereka.
“Cakap pasal Islam berdegar-degar, tapi orang (terutama bukan Islam) naik muak dan jijik dengan Islam. Dia rasa jijik dengan Islam kerana dia nampak akhlak orang Islam yang cakap pasal Islam tapi tak amanah, mengamalkan rasuah, bersikap perkauman dan menyebarkan risalah kebencian.
“Tak ada satu usaha pun untuk membangunkan negara ini dengan (nilai) baik,” katanya berucap selepas mendengar taklimat Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara serta Majlis Berbuka Puasa yang turut dihadiri Pengerusi LKTN, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah di Dataran Kenaf di sini, hari ini.
Khalid mengajak rakyat tanpa mengira fahaman politik untuk membangunkan negara ini untuk ia kembali dikenali sebagai Harimau Asia.
“Allah dah tetapkan sunnatullah begitu. Bangsa dan kaum yang mempunyai akhlak akan maju walaupun akidahnya songsang, negara itu Allah bagi (kemajuan).
“Tapi golongan yang akidahnya ‘canggih’, boleh berbahasa berjam-jam mengenai Islam, tetapi akhlaknya hancur, (maka) hancurlah negara itu.”
Sementara itu, Khalid berkata kerajaan persekutuan pimpinan Pakatan Harapan tidak akan mengambil tindakan terhadap penjawat awam yang mempunyai pendirian politik berbeza dengan parti pemerintah.
Bagaimanapun katanya, mereka perlu memberi sokongan kepada kerajaan ke arah melaksanakan satu matlamat yang dipersetujui rakyat secara majoriti.
“Kerajaan tidak akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak (penjawat awam) untuk menyertai parti politik, tapi kita sebagai kerajaan dan tuan-tuan sebagai kakitangan kerajaan kena berikan khidmat jujur demi membantu kerajaan menyelesaikan masalah negara.
“Kalau ada yang tak mahu terima itu sebagai matlamat bersama atas alasan tak nak sokong PH, kamu tak khianati PH, tapi kamu khianati rakyat dan negara.”