
FMT difahamkan bahawa institusi kebahasaan negara, Dewan Bahasa dan Pustaka telah menyenarai pendek 5 nama itu setelah beberapa bulan mengkajinya.
Menurut satu sumber, panel pemilih yang diketuai ahli akademik terkenal, Salleh Yaapar telah mengemukakan pilihan mereka kepada Menteri Pendidikan, Maszlee Malik, yang perlu mendapatkan perkenan Agong.
Tidak diketahui sama ada Maszlee sendiri bersetuju dengan pilihan panel berkenaan.
Ketika dihubungi DBP enggan mendedahkan butiran calon tersebut.
“Kami masih berbincang,” kata jurucakapnya ketika dihubungi.
Difahamkan bahawa calon yang disenarai pendek termasuk novelis Sarawak Jong Chian Lai, yang menerima Anugerah Sastera Kebangsaan peringkat negeri pada 1994.
Bagimanapun peluang Jong untuk menjadi penerima anugerah bukan-Melayu pertama agak tipis.
“Beliau kurang aktif dalam bidang sastera selama beberapa tahun ini,” kata sumber kepada FMT.
Turut tersenarai ialah Che Shamsuddin Othman, atau lebih terkenal dengan nama Dinsman dan Faizal Musa yang menulis menggunakan nama Faisal Tehrani. Kedua-dua penulis aktif menulis dan terkenal sebagai kritik sosial.
Sementara Dinsman menampakkan kesetiaan politik kepada pemimpin PH dalam tulisan beliau, karya Faisal kurang disenangi oleh pihak berkuasa agama.
Kerajaan sebelum ini mengharamkan beberapa buku beliau atas dakwaan ia menyebar fahaman Syiah yang tidak diterima oleh ramai ulama Sunni di negara itu.

Seperti Dinsman, Faisal, yang bertugas di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, pernah memenangi beberapa anugerah sastera, tetapi dianggap kontroversial berikutan pandangan tidak konvensional beliau mengenai sejarah Melayu – topik yang banyak diperkatakan dalam banyak kertas penyelidikan beliau.
Sumber yang sama memberitahu FMT bahawa pendekatan “terus terang” dan tulisan “revisionis” beliau mengenai sejarah Malaysia mungkin tidak berpihak kepadanya.
“Faisal penulis yang prolifik. Tulisan beliau juga berjaya menembusi pasaran Indonesia,” kata sumber itu lagi.
“Akan tetapi pendekatan kreatif beliau dalam mempersoalkan norma sosial dan agama orang Melayu mungkin tidak menyebelahinya untuk anugerah Sasterawan Negara,” katanya.
Tahun lepas, Faisal yang menulis untuk kolum popular mingguan beliau di FMT, dipanggil oleh Majlis Penasihat Kerajaan, yang ditugaskan oleh Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, bagi mendapatkan maklum balas mengenai pembaharuan yang diperlukan oleh negara.
2 lagi nama yang disenarai pendek untuk anugerah Sasterawan Negara kali ini ialah Azmah Nordin yang berasal dari Kedah, dan Latif Mohidin, penyair dan pelukis yang terkenal dengan karya seni kontemporarinya.
“Bagaimanapun beberapa orang anggota panel pemilih percaya anugerah itu kali ini perlu diberikan kepada bukan penyair, justeru nama Latif mungkin terkeluar,” kata sumber.
Beliau berkata, Latif juga tidak lantang bersuara mengenai isu semasa yang memberi kesan kepada negara, kriteria yang biasanya akan meningkatkan peluang untuk diiktiraf dalam dunia kesusasteraan.
Bagi Azmah pula, menurut sumber itu lagi, terdapat kontroversi mengenai bukunya, “Pantai Kasih”, yang diguna pakai sebagai bacaan wajib bagi subjek Sastera Melayu dalam silibus sekolah menengah.
3 tahun lepas, buku tersebut dikritik kerana kandungannya yang dianggap sesetengah pihak bersifat lucah.
Anugerah Sasterawan Negara kali terakhir dimenangi oleh penyair Zurinah Hassan pada 2015, yang merupakan wanita pertama dipilih sejak anugerah itu diwujudkan pada 1981.
Pemenang anugerah tersebut sebelum ini termasuklah Shahnon Ahmad, Usman Awang dan A Samad Said.