
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Azisman Alias berkata pihaknya menghormati keputusan berkenaan.
“Kami akur dan menghormati apa jua keputusan menteri berhubung perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas hadir memberikan juadah berbuka puasa kepada pegawai dan anggota trafik yang bertugas mengawal lalulintas di Jalan Tun Perak.
Semalam, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata peraturan baru cermin gelap bagi bahagian sisi penumpang dan belakang kenderaan dikekalkan walaupun dibantah pelbagai pihak termasuk polis
Beliau berkata pihaknya menghormati pandangan polis dalam soal risikan dan keselamatan, namun pindaan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan semua pihak termasuk polis.
Berkuatkuasa Rabu, penggunaan cermin gelap tanpa had atau gelap sepenuhnya dibenarkan pada cermin sisi kiri dan kanan penumpang serta cermin belakang kenderaan, berbanding peraturan sebelum ini menetapkan kadar ketelusan cahaya tampak pada 30%.