
Dalam satu kenyataan hari ini, Kajidata, yang mengkhusus dalam penyelidikan pasaran, komersial dan sosio-politik berkata, dapatan itu adalah berdasarkan tinjauan ke atas 1,007 responden berumur 21 tahun ke atas pada akhir Mac lepas di seluruh Malaysia.
Mereka dipilih berdasarkan persampelan berstrata rawak mengikut etnik gender, umur dan pendapatan.
Laporan itu mendapati walaupun wujud banyak sikap negatif terhadap PH, terutamanya berkaitan pencapaian dan pengurusan ekonomi serta arah tujuan negara, namun terdapat juga berita gembira terhadap pakatan kerajaan itu.
Dari segi positifnya, ia mendapati 42% berpuas hati dengan pencapaian Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, berbanding 37% yang tidak berpuas hari.
“40% cenderung mengundi PH, iaitu lebih tinggi daripada PAS (16%) atau BN (15%), jadi PH masih mendapat sokongan lebih besar berbanding gabungan BN dan PAS.”
Ia juga mendapati PH masih mendapat sokongan padu di negeri yang ia kuasai selain sokongan di Sarawak, yang menurutnya memberi petunjuk baik mengenai peluang pakatan politik itu dalam pilihan raya negeri akan datang.
Bagimanapun ia mendapati 42% responden percaya negara menuju hakuan yang salah, berbanding 35% yang berfikir sebaliknya.
39% tidak gembira dengan pencapaian PH dan hanya 37% berpuas hati. Sementara itu, 43% tidak gembira dengan pengurusan ekonomi PH dan hanya 33% berpuas hati.
Kajidata juga mendapati 38% belia cenderung mengundi BN dan PAS berbanding hanya 33% untuk PH.
38% pengundi berpendapatan rendah cenderung mengundi BN-PAS, berbanding 31% untuk PH. Bagi kumpulan berpendapatan tinggi pula, 51% masih cenderung mengundi PH.
Ia berkata, bagi golongan berpendapatan rendah wujud korelasi terbalik antara tekanan ekonomi dengan kecenderungan mengundi PH.
Kajidata berkata, hasil kajian itu menunjukkan bahawa walaupun ramai yang kecewa dengan pencapaian PH, mereka masih melihatnya sebagai kerajaan yang lebih berdaya maju berbanding alternatifnya iaitu BN dan PAS.
“Mungkin sukar bagi PH untuk mempengaruhi pengundi Melayu-Islam bahawa ia, terutamanya DAP, mesra kepentingan mereka, namun mungkin lebih mudah untuk meyakinkan kelompok itu bahawa kepentingan ekonomi mereka dipelihara.”
Ia berkata, kesejahteraan ekonomi rakyat merupakan faktor penting dalam menentukan kesetiaan politik.
“Dasar yang mengurangkan kos sara hidup, kenaikan gaji melalui peningkatan produktiviti dan pengekalan atau peningkatan kuasa beli ringgit perlu diusahakan secara bersungguh-sungguh.”