120 mangsa banjir P Pinang masih berlindung di 2 pusat pemindahan

120 mangsa banjir P Pinang masih berlindung di 2 pusat pemindahan

Sebanyak 23 keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan banjir di Tasek Gelugor dan Butterworth kerana kediaman masih dilanda banjir.

(Gambar Bernama)
TASEK GELUGOR:
Seramai 120 orang mangsa banjir dari 23 keluarga masih lagi ditempatkan di 2 buah pusat pemindahan banjir yang dibuka di sini dan di Butterworth sehingga pukul 7.00 petang tadi.

Jumlah itu meningkat 3 orang berbanding hanya 117 penduduk yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan banjir sehingga pukul 1.00 tengah hari tadi.

Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata mangsa banjir masih belum dapat pulang ke rumah masing-masing kerana kediaman mereka masih dilanda banjir.

“Sehingga pukul 7.00 petang ini, seramai 85 penduduk dari 15 buah keluarga masih di berada di pusat pemindahan banjir di Dewan Muhibbah, Merbau Kudung.

“Mereka terdiri daripada 26 orang lelaki, 22 orang perempuan, 17 orang kanak-kanak lelaki, 17 orang kanak-kanak perempuan, bayi lelaki 2 orang dan 1 bayi perempuan,” katanya ketika dihubungi.

Phee berkata turut berada di pusat pemindahan banjir di Dewan Muhibbah ialah 4 orang warga emas yang terdiri dari 3 orang wanita dan 1 lelaki.

Manakala 35 orang mangsa banjir dari 7 buah keluarga juga masih lagi ditempatkan di pusat pemindahan di Dewan Kampung Tok Sani, Butterworth.

Katanya 4 pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) iaitu masing-masing 2 pegawai ditempatkan di setiap pusat pemindahan banjir bagi membantu mangsa banjir.

Beliau berkata kerajaan negeri dan beberapa agensi kerajaan terlibat memberikan bantuan keperluan termasuk menyediakan juadah untuk berbuka puasa serta sahur.

Ketika ini cuaca di Pulau Pinang terutama kawasan Butterworth dan Tasek Gelugor kadangkala hujan lebat serta rintik dan ia menyebabkan paras air di kawasan penduduk terlibat banjir belum surut lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.