Mudah untuk masuk Malaysia secara haram, kata saksi RCI Wang Kelian

Mudah untuk masuk Malaysia secara haram, kata saksi RCI Wang Kelian

Saksi turut melihat beberapa struktur kubur haram dan kem yang masih teguh dan dipercayai ia baru ditinggalkan.

Wartawan veteran Arulldas Sinnappan, saksi ke-21 RCI Wang Kelian berkata, beliau mengetahui mengenai kemungkinan wujudnya kem penyeludupan manusia di Wang Kelian secara tidak sengaja selepas mendengar perbualan di sebuah warung kopi di Jitra pada 6 Mac 2015.
PUTRAJAYA:
Pengamal media yang mendedahkan kepada masyarakat umum mengenai penemuan kem penyeludupan manusia dan kubur besar di Wang Kelian, Perlis memberitahu panel Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) adalah mudah untuk menyebarang masuk dari Thailand ke Malaysia secara haram.

Wartawan veteran Arulldas Sinnappan, 64 yang dipanggil sebagai saksi RCI berkata, pada 13 Mei 2015 beliau dan jurugambar Mohd Sayuti Zainudin bersama-sama dengan 2 lelaki warga Thailand pergi ke salah satu kem penyeludupan manusia dan kubur besar yang berada di Malaysia dengan cara mendaki bukit dari negara jiran.

“Kami mula bergerak ke lokasi itu pada 2 petang di Ban Talo, Thailand, yang terletak di sebelah Wang Kelian. Saya berjalan selama 15 minit ke arah lokasi kem dan kubur. Kemudian melihat ada banyak plastik sampah, bekas makanan dan baju. Kami juga ternampak tentera Thailand di kaki bukit.

“2 warga Thailand ini kemudian bercakap dengan tentera Thailand dan mereka membenarkan kami teruskan misi. Selepas berjalan dalam tempoh waktu 1 atau 2 jam, kami akhirnya sampai ke batu sempadan di antara Malaysia dan Thailand.

“Dari situlah kami nampak ada kawat berduri yang diletakkan di atas tanah bagi memisahkan di antara kedua-dua negara dan tidak ada pagar.

“Tempat itu terbuka dan boleh melangkah masuk ke sempadan negara,” katanya yang merupakan saksi ke-21 dalam pendengaran awam yang diadakan di Dewan Gemilang Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya, hari ini.

Saksi tampil memberi keterangan di depan 7 panel RCI yang diketuai bekas ketua hakim negara, Arifin Zakaria selaku pengerusi, pada hari ke-7 siasatan.

Arulldas berkata, sebaik sahaja tiba ke lokasi yang dikatakan kem penyeludupan dan kubur itu, beliau melihat beberapa struktur kubur haram dan kem yang menurutnya masih berdiri teguh dan dipercayai baru sahaja ditinggalkan beberapa minggu.

“Saya kira di kawasan itu ada lebih 15 struktur kubur dan saya persoalkan kenapa mayat manusia ditanam di sebuah kawasan bukit. Kemudian kami berjalan kira-kira 200 meter dari arah kubur, sebelum menemui sebuah kem di Lubuk Sireh, Genting Perah,” katanya.

Jelasnya, beliau mengenali 2 lelaki Thailand itu sewaktu menghadiri sidang media timbalan ketua polis negara Thailand di Hat Yai yang mendakwa mengetahui lokasi terletaknya kem mangsa pemerdagangan manusia.

Arulldas yang banyak mendedahkan mengenai isu pendatang dan penyeludupan manusia berkata, beliau pertama kali mengetahui mengenai kemungkinan wujudnya kem penyeludupan manusia dan kubur besar di Wang Kelian selepas secara tidak sengaja mendengar perbualan di sebuah warung kopi di Jitra pada 6 Mac 2015.

Selepas itu katanya, beliau turut melakukan beberapa pencarian di Wang Kelian untuk mencari petunjuk baru sebelum bertemu seorang renjer hutan bertugas di kawasan berkenaan yang memaklumkan kepadanya bahawa kenderaan polis dan ambulans sudah memasuki kawasan itu sejak Januari 2017.

Mohd Sayuti yang turut dipanggil mengangkat sumpah sebagai saksi ke-22, turut mengesahkan kenyataan Arulldas bahawa amat mudah untuknya menyeberang masuk ke sempadan negara pada ketika itu.

“Kami semak jika ada pagar atau tidak, atau adakah ia boleh menghalang mana-mana pihak masuk ke Malaysia atau tidak. Namun tidak ada dinding, memang senang untuk melangkah,” katanya.

Pada 2015, negara dikejutkan dengan penemuan 147 kubur dan 28 kem pemerdagangan manusia yang ditinggalkan di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, di sempadan Malaysia-Thailand.

RCI itu ditubuhkan Kementerian Dalam Negeri untuk menyiasat penemuan kubur beramai-ramai dan kem penyeludupan manusia di Wang Kelian pada 2015.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.