
“Semua orang cakap mengenai kaum masing-masing,” katanya pada sesi khas bersama media menjelang ulangtahun pertama Pakatan Harapan menjadi kerajaan.
“Hakikatnya, kita pada asasnya masih memikirkan kaum sendiri. Para menteri yang mahu meraih sokongan daripada komunitinya akan ajukan isu berkaitan kaum pada kerajaan,” katanya ketika ditanya adakah pentadbirannya akan bawa naratif baru untuk menyatukan rakyat di sebalik tuduhan terhadap PH, yang didakwa mengabaikan orang Melayu Islam.
Perdana menteri berkata 3 masyarakat utama di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India mempunyai isu masing-masing.
Masyarakat Cina contohnya mahu sekolah vernakular dikekalkan dan Sijil Peperiksaan Bersama diiktiraf.
Masyarakat Melayu pula mengadu kerajaan tidak menegakkan Islam dan menganjurkan tunjuk perasaan, katanya.
“Semua orang” ingat kerajaan beri tumpuan pada masyarakat lain dan mengabaikan masyarakatnya, katanya, dan Putrajaya sedar akan hal itu.
“Kalau tidak tidak tangani hal itu, kita akan hilang sokongan orang Melayu. Kalau PH hilang sokongan orang Melayu, kita akan kalah. Kalau PH hilang sokongan orang Cina, pun kita akan kalah.
“Masyarakat India juga boleh memainkan peranan besar dalam memastikan PH kalah, jadi kita perlu berhati-hati,” katanya, dan menambah kerajaan tidak dapat menggembirakan hati semua orang sepanjang masa.
Mengenai dakwaan kerajaannya menjenamakan semula inisiatif yang dilaksanakan Barisan Nasional (BN), Mahathir berkata BN juga melakukan perkara yang sama.
Beliau berkata pentadbirannya akan melaksanakan inisiatif-inisiatif itu “dengan cara yang betul”.
“Bukan melalui rasuah atau beri kontrak kepada kroni, bukan minta harga kontrak dinaikkan untuk buat duit,” katanya.
Beliau memberi contoh Laluan Kereta Api Pantai Timur, yang diteruskan semula selepas mengurangkan kos pembinaan untuk Fasa 1 dan 2 kepada RM44 bilion daripada kos asal RM65.5 bilion.
Beliau berkata istilah-istilah awal “sangat tidak bagus”, dan berkata kerajaannya akan menjalankan projek itu dengan betul dan dengan usaha wajar.
“Jadi, tak betullah kalau kata kita buat apa yang kerajaan sebelum ini buat,” katanya.
Penjenamaan inisiatif yang menyusuli kemenangan PH pada 9 Mei lepas termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), yang kini dikenali sebagai Bantuan Sara Hidup (BSH), dan Pusat Transformasi Luar Bandar, yang kini dikenali sebagai Pusat Komuniti Desa.
Klinik 1Malaysia kini dikenali sebagai Klinik Komuniti, manakala program pembangunan kanak-kanak, Permata ditukar nama kepada Genius bulan lepas.