
“Kerajaan patut akui kelewatan dalam menamatkan sistem dan undang-undang yang menganiaya hanya akan menambah keperitan hidup rakyat,” kata timbalan pengarah HRW Asia Phil Robertson, menjelang ulang tahun pertama pentadbiran PH esok.
Beliau menyebut kegagalan memansuhkan beberapa akta kejam seperti dijanjikan dalam manifesto PH, di samping tidak memenuhi janji untuk menghapuskan hukuman mati dan undang-undang yang memberi kuasa darurat kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Malah, pindaan (yang dibuat ke atas MKN) memberi lebih banyak kuasa kepada majlis berkenaan dan membolehkan kerajaan menganggap pengarah syarikat melakukan kesalahan yang dibuat oleh syarikat, melainkan mereka boleh membuktikan sebaliknya,” katanya.
HRW, berkata, PH memberi gambaran mereka akan melaksanakan reformasi dalam masa beberapa minggu selepas kemenangan bersejarahnya dalam pilihan raya umum 9 Mei tahun lalu, namun ia tidak berlaku.
Ini termasuklah menubuhkan Jawatankuasa Reformasi Institusi yang akan melibatkan masyarakat dalam mencadangkan pelan reformasi undang-undang dan pentadbiran dan moratorium terhadap Akta Hasutan.
“9 bulan selepas laporan Jawatankuasa Reformasi Institusi dikemukakan kepada perdana menteri pada Julai 2018, ia masih tidak dimaklumkan kepada awam, dan ini menunjukkan kurangnya ketelusan dan akauntibiliti,” kata HRW.
In juga menyebut tentang pusingan-U kerajaan dalam isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan Statut Rom.
Pada November lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan tidak akan menandatangani ICERD berikutan tunjuk perasaan oleh Umno dan PAS.
Pada bulan April, Dr Mahathir menyebut tentang tekanan daripada istana sebagai punca hasrat kerajaan membatalkan hasrat untuk meratifikasikan Statut Rom.
HRW juga mempersoalkan kegagalan kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dalam keadaan polis didakwa terlibat dalam beberapa kes berprofil tinggi, termasuk kes kehilangan 2 individu.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menyalahkan polis dalam 2 kes tersebut.
Pada 3 April, berikutan inkuiri selama setahun yang mendengar keterangan ramai saksi, Suhakam merumuskan bahawa polis Cawangan Khas bertanggungjawab atas kehilangan aktivis bebas Amri Che Mat dan pastor Raymond Koh pada 2016 dan 2017.
“Selepas setahun berkuasa, kerajaan Malaysia hanya perlu menunaikan janjinya berkaitan hak asasi manusia,” kata HRW.