Peniaga Rantau Panjang kecewa kerajaan PH gagal stabil ringgit

Peniaga Rantau Panjang kecewa kerajaan PH gagal stabil ringgit

Walaupun selepas setahun PH mentadbir negara, nilai matawang negara semakin tidak menentu mengakibatkan mereka masih bergelut menyelamatkan perniagaan.

Beberapa gerai makanan dan buah-buahan ditempatkan di luar kawasan Bazar Siti Fatimah, Rantau Panjang.
RANTAU PANJANG:
Rata-rata peniaga di kawasan zon bebas cukai Rantau Panjang, Kelantan meluahkan rasa kesal terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana gagal mengubah kedudukan ringgit yang didakwa mereka semakin lemah.

Menurut mereka, walaupun selepas setahun PH mentadbir negara, nilai matawang negara menjadi semakin tidak menentu mengakibatkan mereka masih bergelut untuk menyelamatkan perniagaan, selepas diasak oleh nilai bath yang semakin mengukuh.

Salah seorang penjaja makanan di pekan Rantau Panjang, Ahmad Naim, 60, berkata, kemelut yang dialaminya dan peniaga lain sudah masuk ke tahun ke-3.

Dia yang mesra dengan panggilan Abe Naim berkata, situasi itu diharapkan berubah dengan peralihan kuasa pusat oleh PH, namun realitinya menghampakan.

“Dahulu, dengan perdana menteri dulu, sudah tidak boleh tukar keadaan (kedudukan ringgit).

“Kini, perdana menteri yang baru pun tak boleh juga. Meleset sangkaan pihak kami,” katanya ketika ditemui FMT.

FMT dimaklumkan, rata-rata peniaga di Rantau Panjang membeli dan mendapatkan barangan jualan dari kawasan sempadan Thailand seperti di Sungai Golok dan Narathiwat.

Setakat ini, pertukaran wang melibatkan ringgit kepada bath adalah RM7.72 bersamaan 100 Bath.

Gerai Abe Naim menjual makanan cucuk, minuman dan buah mangga muda.

Oleh sebab itu, kata Abe Naim, kos modal jualannya merosot selepas menukarkan ringgit kepada bath.

“Bayangkan, duit RM100 yang saya tukar tu hilang RM30 menjadi RM70 sahaja.

“Sedangkan, beberapa tahun dahulu, matawang kita sedap (kukuh), tukarlah di mana-mana pintu masuk sempadan Thailand pun, tetap tinggi,” katanya.

Kata Abe Naim, harga makanan yang dijualnya tidak pernah dinaikkan kerana khuatir pelanggan akan lari.

“Ya lah, tapi untung tak ada. Sehari cuma dapat RM70 hingga RM80 sahaja,” katanya sambil menambah keuntungan itu akan dibahagikan kepada 4 orang pembantunya.

Sementara itu, peniaga pakaian sukan di Bazar Siti Fatimah yang mahu dikenali sebagai Hafiz berkata, hampir seluruh barangan jualan bagi peniaga di situ diperolehi daripada negara jiran berkenaan.

Peniaga gerai makanan merungut mereka tidak memperoleh untung yang banyak akibat tukaran matawang yang lemah.

Disebabkan kemelut pertukaran matawang, kebanyakan peniaga mengubah harga jualan yang mengakibatkan kekurangan pengunjung yang datang.

“Sebab tu tak ramai lagi orang datang ke Rantau Panjang. Cuba tanya mereka, kenapa tak datang? Sebab mahal.

“Tapi mereka tak tahu, kita tak boleh letak harga murah kerana modal sahaja sudah tinggi, macam mana nak jual murah?” kata graduan grafik itu kepada FMT.

Rantau Panjang terletak kira-kira 40km dari bandar Kota Bharu dan bersebelahan dengan pekan Golok di Thailand. Kewujudan zon bebas cukai pada 2002 menjadikan ia kawasan yang paling kerap dikunjungi pelancong setiap tahun.

Perniagaan di situ ditempatkan dalam sebuah bangunan 3 tingkat yang dibina kerajaan negeri selepas tapak asal bazar musnah dijilat api beberapa tahun sebelum ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.