PBS mungkin dapat kelebihan undi protes di Sandakan

PBS mungkin dapat kelebihan undi protes di Sandakan

Ketidakpuasan hati terhadap isu-isu tempatan mungkin menyaksikan majoriti besar DAP berkurangan, kata penganalisis.

KOTA KINABALU: Ketika kempen pilihan raya kecil Sandakan memasuki minggu terakhir, seorang penganalisis politik percaya PBS mungkin berpeluang kecil untuk mencipta kejutan dan menawan kerusi itu daripada DAP.

Rahezzal Shah Abd Karim dari UiTM Sabah berkata undi protes terhadap kegagalan Pakatan Harapan menunaikan janji pilihan raya mungkin menjadi faktor sebalik peralihan sokongan itu.

Terdapat spekulasi DAP akan menang pilihan raya kecil, tetapi dengan pengurangan dalam majoriti yang diraih Ketua DAP Sabah, Stephen Wong pada pilihan raya umum 2018.

Rahezzal bagaimanapun berkata kemenangan PBS tidak boleh dianggap sebagai suatu referendum terhadap seluruh prestasi kerajaan.

“Kita patut berhati-hati dengan pandangan seperti itu. Kerajaan Barisan Nasional menang beberapa pilihan raya kecil sebelum ini dan juga pilihan raya negeri Sarawak tetapi tewas pilihan raya umum.

“Terlalu awal untuk mengatakan kekalahan DAP atau kemenangan PBS mewakili sentimen semua pengundi di Sabah,” katanya.

Wong terpilih semula di Sandakan pada 2018 dengan majoriti lebih 10,000 iaitu 10 kali lagi banyak daripada yang diperoleh pada 2013. Beliau meninggal dunia kerana serangan jantung pada bulan lepas, mencetuskan pilihan raya kecil itu.

DAP mencalonkan anaknya, Vivian Wong Shir Yee, 30. Dia dicabar Linda Tsen dari Parti Bersatu Sabah (PBS), seorang bekas ahli Parlimen Batu Sapi selama 2 penggal.

Rahezzal berkata DAP secara umumnya dijangka memenangi kerusi itu, tetapi jumlah keluar mengundi yang lebih rendah boleh mengurangkan majoriti.

“Kebiasaannya pilihan raya kecil mencatatkan jumlah keluar mengundi lebih rendah. Sukar untuk dinilaikan sama ada ini memberi kelebihan kepada pihak bertanding.”

Isu pembangunan tempatan yang membelit daerah itu selama bertahun-tahun memunculkan kepalanya pada Sabtu apabila seorang wanita menganggu Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua dalam satu kempen DAP di Taman Harmoni.

Norbayan Tanong, seorang penduduk di kompleks projek perumahan rakyat berkata, dia hanya mahu mengingatkan DAP tentang janji-janjinya pada pilihan raya lepas.

“Mereka berjanji akan memberikan kami peluang untuk membeli rumah yang kami diami. Salahkah jika saya berkata mereka perlu tunaikan janji? Tambahan lagi kami mengundi DAP,” katanya.

Beliau dan keluarga terbeban dengan peningkatan kos penyelenggaraan rumah.

Rahezzal berkata hubungan PBS dengan Umno boleh menjejaskan peluang parti itu.

Beberapa parti pembangkang berikrar untuk membantu PBS, dan Rahezzal berkata parti politik hanya akan membentuk suatu pakatan yang sesuai dengan keperluan mereka.

“Dalam kes Sandakan, belum pasti bagaimana Umno akan terlibat. Adakah mereka akan keluar dan berkempen untuk PBS?” katanya.

“Itu mungkin mereka dengan pengundi Bumiputera tetapi bagaimana dengan pengundi Cina? Adakah mereka akan tolak PBS kerana kerjasamanya dengan Umno?”

Selain Umno, PAS dan Parti Solidariti Tanah Airku berikrar memberi sokongan kepada kempen PBS.

Tiga calon bebas juga bertanding iaitu Hamza Abdullah, Chia Siew Yung dan Sulaiman Abdul Samat. Sandakan akan mengundi pada 11 Mei.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.