
Beliau berkata, parti itu sentiasa berpegang teguh dengan peruntukan yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan.
“Apa-apa sahaja yang berkait dengan perlembagaan persekutuan, ia diputuskan perdana menteri, jadi kita beri keyakinan penuh kepada beliau,” katanya kepada sidang media sempena persidangan kebangsaan parti itu ke-50 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas hubungan “panas” antara Putrajaya dengan Istana Johor melibatkan beberapa isu seperti ratifikasi Statut Rom, pertukaran perdana menteri dan pelantikan menteri besar Johor sebelum ini.
Isu terbaru yang dilihat “memanaskan” hubungan antara kerajaan dengan Istana Johor berkait hak milik ke atas sebidang tanah seluas 4.5 hektar di Bukit Chagar, Johor yang merupakan sebahagian daripada projek pembinaan Sistem Aliran Transit (RTS) menghubungkan Bukit Chagar dengan Woodlands di Singapura.
Projek RTS bertujuan mengurangkan kesesakan di Tambak Johor.
Tanah berkenaan dikatakan dipindah milik kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semasa pemerintahan Barisan Nasional.
Sultan Ibrahim dalam satu kenyataan berkata, beliau tidak maklum tentang perubahan ke atas milik tanah berkenaan, tetapi bersedia menyerahkannya (kepada kerajaan) tanpa kos dengan syarat projek RTS dilaksanakan segera.
Tunggu lampu hijau untuk jumpa Asri
Dalam perkembangan sama, Guan Eng berkata, pihaknya masih menunggu masa sesuai untuk mengadakan pertemuan dengan Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin berhubung dakwaan kononnya DAP anti Islam.
“Kita kena hormat masanya kerana beliau (Asri) sibuk dan saya yakin bila beliau boleh luangkan masa, kita akan dapat berjumpa,.
“Saya rasa tiada masalah untuk kita bincang atau bermusyawarah. Jadi saya rasa, bincang atau dialog adalah satu perkara yang baik,” katanya.
Sebelum ini, Asri bersetuju untuk bertemu pemimpin DAP, termasuk Guan Eng berikutan kritikan beliau terhadap parti itu.
Asri mendakwa media salah lapor kenyataannya mengenai DAP dan Islam.
Hantar pulang Zakir Naik
Ketika ditanya sama ada DAP akan mendesak kerajaan supaya menghantar pulang pendakwah kontroversi Zakir Naik ke India, Guan Eng enggan mengulas lanjut sebelum mendapat maklumat terperinci.
“Saya rasa kita perlu dapatkan laporan daripada agensi berkaitan terlebih dahulu.
“Saya tidak boleh komen, sebab ia bukan di bawah kementerian saya,” katanya
Mengulas ketidakhadiran pengerusi Pakatan Harapan (PH), Dr Mahathir Mohamad pada majlis perasmian persidangan itu yang turut dihadiri pemimpin parti komponen PH yang lain, Guan Eng berkata, perkara itu tidak wajar dijadikan isu.
Beliau berkata, ahli Parlimen Langkawi itu mempunyai program lain bersama isterinya.
Katanya, DAP menghormati keperluan Dr Mahathir menunaikan janji untuk menghadiri satu program lain di Ipoh bersama-sama Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
“Kadangkala kita kena hormati temu janji yang sudah dibuat lebih awal. Justeru tiada masalah kalau Tun M tak sempat (hadir).
“Kita undang Anwar Ibrahim, saya rasa itu bukan isu,” katanya.
Persidangan DAP itu turut dihadiri presiden PKR, Anwar Ibrahim; presiden Amanah, Mohamad Sabu; setiausaha agung PPBM, Marzuki Yahya; penasihat DAP, Lim Kit Siang serta pemimpin dan perwakilan parti itu dari seluruh negara.