
“Kamu sentuh TMJ, kami lawan” antara sepanduk yang dilihat oleh para penunjuk perasaan yang berarak dari Masjid Jamek pada kira-kira 2 petang tadi, menuju ke Sogo.
Perhimpunan ini antara lain diadakan sebagai tanda sokongan kepada pendirian TMJ terhadap perakuan Statut Rom, yang dikhuatiri menggugat kedudukan Agong.
Anjuran gabungan NGO, Gerakan Pembela Ummah, ia turut dihadiri PAS dan Umno. Mereka berarak sambil melaungkan “hidup Islam, hidup ummah”. Penunjuk perasaan turut dilihat membawa plakad “TMJ Kesayangan Rakyat, Mahathir Kesayangan Saddiq”.
Antara pemimpin politik yang kelihatan adalah Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi, dan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man.
Timbalan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah, Kamaruzaman Mohamad berkata Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam itu akan menyentuh isu ancaman kepada kedaulatan negara.

Selain Statut Rom, ia juga membawa isu keadilan untuk Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota bomba yang meninggal dunia selepas rusuhan di kuil Seafield tahun lepas, dan membantah tangkapan Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu, seorang penceramah yang didakwa menghina agama Hindu.
Sebelum ini, selepas mengumumkan Malaysia menarik balik perakuannya, Perdana Menteri Mahathir Mohamad berkata kerajaan tahu penentangan terhadap Malaysia menandatangani perjanjian itu bermotif politik, ideanya untuk mendapatnya raja-raja melawan kerajaan.
Kami beri amaran
Berdekatan Sogo, Tuan Ibrahim dalam ucapannya kepada penunjuk perasaan berkata penyertaan ramai dalam himpunan hari ini menunjukkan kebimbangan yang nyata mengenai kedudukan Islam bawah pentadbiran hari ini.

Tuan Ibrahim berkata mereka berhimpun untuk memberi amaran kepada “golongan yang sedang bekerja keras menghalang Islam” bahawa mereka tidak akan berdiam diri.
“Kalau Islam tidak terancam, mana mungkin ribuan yang hadir petang ini. Kita berhimpun kerana kita menyedari ancaman yang berlaku kepada Islam dalam negara kita,” katanya.
Penunjuk perasaan tidak berganjak walaupun hujan turun. Tuan Ibrahim berkata satu memorandum akan diserahkan kepada Agong, Majlis Raja-raja dan Parlimen berkenaan Statut Rom, kematian Adib, bahasa kebangsaan dan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).

Ashraf Wajdi pula berkata tunjuk perasaan hari ini permulaan kepada tunjuk perasaan yang lebih besar, kerana rakyat tidak terima “jika institusi raja-raja Melayu dipermainkan”.
“Dalam Perlembagaan, kita kena pertahankan institusi raja-raja dan pertahankan martabat serta kesucian Islam,” katanya.
Beliau turut membidas Peguam Negara Tommy Thomas kerana tidak mempertahankan raja-raja Melayu di forum “Malaysia dan Statut Rom” di Universiti Malaya pada 27 April lalu.
“Kita mesti desak Thomas letak jawatan. Dia tak layak jadi peguam negara, dia biarkan raja Melayu dihina,” katanya.