
Dalam satu kenyataan, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong berkata, Asri mendakwa media salah lapor kenyataannya mengenai DAP dan Islam.
Sim berkata, DAP sentiasa bersedia menerima kritikan dan nasihat “dengan harti terbuka” dan berharap dialog sedemikian dengan Asri akan membawa kepada persefahaman lebih baik dalam kalangan semua pihak.
Katanya, pada masa sama, DAP juga akan mempertahankan diri daripada tuduhan palsu pembangkang bahawa ia menentang Islam.
Sebagai komponen kerajaan Pakatan Harapan (PH), Sim menyenaraikan sumbangan DAP kepada Islam dan institusi agama.
Beliau berkata, dalam konteks Pulau Pinang, kerajaan negeri pimpinan DAP telah menambah peruntukan tahunan kepada sekolah agama, selain memberikan elaun kepada guru agama.
Ia juga menyediakan tanah seluas 4O hektar untuk dibangunkan sebagai sebuah hab halal.
Kerajaan negeri juga dalam proses menyediakan perpustakaan Islam digital pertama di Asia Tenggara.
Sim berkata, di peringkat persekutuan, ketika membentangan Belanjawan 2019, sebagai menteri kewangan, Lim memberi peruntukan tambahan RM100 juta untuk hal ehwal Islam, dengan menambah peruntukan sebanyak RM1.1 bilion pada 2018 kepada RM1.2 bilion bagi 2019.
Selain itu, kerajaan pusat juga memperuntukkan RM25 juta kepada sekolah agama dan tambahan RM25 juta lagi untuk “sekolah pondok” yang berdaftar.
Beliau berkata, 2 jenis sekolah itu tidak diberikan apa-apa dana dalam Belanjawan 2018 yang dibentangkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).
Untuk 2019, Kementerian Kewangan juga memperuntukkan RM5 juta kepada Kompleks Nasyrul Quran bagi membolehkannya mencetak lebih banyak al-Quran, kata Sim.
Beliau berkata, Kementerian Kewangan turut menyuntik RM17.8 bilion bagi “memulihkan Tabung Haji berikutan salah urus oleh kerajaan lepas,” tambah Sim.
“DAP sentiasa menghormati kedudukan Islam sebagai agama rasmi persekutuan seperti termaktub dalam perlembagaan negara.
“Bagaimanapun ia terus menjadi sasaran pembangkang yang menuduhnya anti Islam.”