Wanita Vietnam didakwa bunuh Jong Nam dibebaskan hari ini

Wanita Vietnam didakwa bunuh Jong Nam dibebaskan hari ini

Doan Thi Huong dibebaskan pada jam 7.20 pagi tadi dan akan dibawa ke JIM Putrajaya sebelum dihantar pulang ke negara asal petang ini.

Doan Thi Huong sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 3 tahun 4 bulan selepas mengaku bersalah menyebabkan kecederaan ke atas Kim Jong Nam menggunakan racun VX, di klia2, 2 tahun lepas. (Gambar AFP)
KUALA LUMPUR:
Warga Vietnam, Doan Thi Huong, tertuduh dalam kes bunuh abang sebapa pemimpin Korea Utara, Kim Chol atau Kim Jong Nam, dibebaskan pada 7.20 pagi tadi selepas tempoh penjara tamat.

Peguam yang mewakili wanita itu, Hisyam Teh Poh Teik berkata Doan, 30, akan dibawa ke Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya sebelum dihantar pulang petang ini.

“Petang ini, lebih kurang jam 4 (petang), pihak Imigresen akan hantar Doan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk dihantar pulang.

“Penerbangan Doan (dipercayai menaiki penerbangan Vietnam Airlines) ke negara asalnya, Vietnam, pada 7.15 petang ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Pada 1 April lepas, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara 3 tahun 4 bulan ke atas Doan selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan ke atas Kim Chol menggunakan racun VX, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) 2 tahun lepas.

12 hari kemudian (13 April), Bernama melaporkan Doan akan dibebaskan hari ini selepas tempoh penjaranya tamat.

Kira-kira 2 bulan sebelum itu, mahkamah sama melepaskan tanpa membebaskan Siti Aisyah, seorang warga Indonesia, iaitu seorang lagi tertuduh kes bunuh Jong Nam.

Mereka didakwa bersama 4 lagi yang masih bebas membunuh Kim Chol, 45, di Balai Berlepas klia2 pada 9 pagi, 13 Feb 2017 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.