Pusat pelancongan RM5 bilion akan dibina di Lok Kawi

Pusat pelancongan RM5 bilion akan dibina di Lok Kawi

Sabah menerima lebih 3 juta ketibaan pelancong setiap tahun dan terdapat keperluan untuk menyediakan kemudahan mencukupi bagi menampung jumlah itu.

Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal merasmikan majlis pecah tanah projek KK Resort City bernilai RM5 bilion di Lok Kawi, semalam. (Gambar Facebook)
KOTA KINABALU:
Pusat pelancongan berskala besar dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk hotel, pusat beli-belah dan pusat sosial bernilai kira-kira RM5 bilion dikenali sebagai “KK Resort City” akan dibina di Lok Kawi, dekat sini.

Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal berkata, kerajaan negeri sangat mengalu-alukan pembangunan berkenaan yang dilaksanakan oleh KTS Group melalui anak syarikatnya, Sunduvon Corportion Sdn Bhd, kerana ia akan mewujudkan banyak peluang pekerjaan serta meningkatkan ekonomi.

“Saya kagum kerana syarikat yang menjalankan projek ini adalah syarikat tempatan dan bukan pelabur asing. Saya yakin pembangunan pusat pelancongan yang bernilai kira-kira RM5 bilion ini bakal membawa limpahan ekonomi yang ketara kepada Malaysia, khususnya Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis pecah tanah projek itu di Lok Kawi dekat sini, semalam yang turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Menteri Christina Liew yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar serta pengarah urusan Sunduvon Corporation Sdn Bhd Henry Lau.

Mohd Shafie berkata kerajaan Sabah terus berusaha untuk menambah pembangunan hartanah di negeri itu bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi terutama menerusi sektor pelancongan.

“Sabah menerima lebih 3 juta ketibaan pelancong setiap tahun dan itu membuktikan terdapat keperluan untuk menyediakan kemudahan mencukupi bagi menampung jumlah itu.

“Ada kawasan pelancongan yang tidak dapat menampung ketibaan ramai. Jika pelancong datang dalam tempoh yang sama, pasaran tidak dapat menyediakan kemudahan diperlukan pelancong kerana pelancong bukan saja dari China, tetapi juga dari dalam negara.

“Oleh itu pembinaan KK Resort City ini sangat bertepatan,” katanya.

Lau berkata, KK Resort City yang akan dibina di tanah seluas 325 ekar (132 hektar) di Lokawi, kira-kira 15 kilometer dari pusat bandar Kota Kinabalu, bakal menjadi destinasi percutian bertaraf dunia.

“Kita tahu Sabah adalah menjadi permata dalam industri pelancongan kerana kaya dengan alam semula jadi yang sering menjadi tarikan utama pelancong luar.

“Oleh itu kita berterima kasih kepada ketua menteri Sabah kerana telah memberi sokongan dalam pembinaan projek ini dan kita harap projek ini akan memberi banyak manfaat kepada rakyat dan negeri ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.