Guan Eng: Kerajaan kekal sasaran pertumbuhan 4.9% bagi 2019

Guan Eng: Kerajaan kekal sasaran pertumbuhan 4.9% bagi 2019

Indeks Pengurus Pembelian Nikkei menunjukkan kemungkinan peningkatan 5.2% pada 2019.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, kerajaan akan meneruskan usaha menambah baik kebajikan rakyat melalui tumpuan mencapai pertumbuhan berkualiti tinggi.
KUALA LUMPUR:
Kementerian Kewangan mengekalkan unjuran pertumbuhan semasa 4.9% bagi negara untuk tahun ini, walaupun Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Nikkei menunjukkan kemungkinan peningkatan 5.2% pada 2019.

Menterinya Lim Guan Eng berkata, kementerian menyambut baik bacaan PMI terkini bagi Malaysia yang meningkat kepada paras tertinggi dalam tempoh 7 bulan, iaitu 49.4 mata pada April 2019 daripada 47.2 mata ketika bulan sebelumnya.

Prestasi PMI pada April itu didorong oleh antara lain, pertambahan tempahan eksport, pertumbuhan pekerjaan, pelaburan bagi jentera dan kilang baru, serta keyakinan perniagaan yang lebih baik susulan kepastian dan kejelasan dasar di bawah agenda pembaharuan kerajaan.

“Pertumbuhan mampan berterusan itu membuktikan langkah pemulihan semasa dan usaha pembangunan yang dilaksanakan oleh pentadbiran Pakatan Harapan (PH) mencapai hasil seperti dirancangkan.

“Kerajaan akan meneruskan usaha untuk menambah baik kebajikan rakyat melalui tumpuan mencapai pertumbuhan berkualiti tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Nikkei, keyakinan perniagaan pada April juga berada pada tahap tertinggi seperti yang pernah direkodkan pada Oktober 2013.

Pertambahan pelaburan baru pula merupakan kesan langsung daripada keupayaan kerajaan dalam meningkatkan pelaburan langsung asing diluluskan, iaitu sebanyak 48% kepada RM80.5 bilion pada 2018 daripada RM54.5 bilion pada 2017.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.