
Peguamnya Joy Wilson Appukuttan berkata, Arun menghantar permohonannya itu ke Istana Negara Selasa lalu.
“Permohonan itu dibuat di bawah Artikel 42 Perlembagaan Persekutuan dan Agong mempunyai kuasa memberi pengampunan, reprief dan respit ke atas semua kesalahan yang dilakukan di negeri takluknya,” Wilson memberitahu FMT.
Katanya, menurut perlembagaan, Agong bertindak atas nasihat Lembaga Pengampunan yang dianggotai menteri wilayah persekutuan, peguam negara dan 3 yang lain.
Wilson berkata, ini adalah kali pertama seorang peguam memohon bagi mendapatkan pengampunan kerana pada masa lalu, walaupun ramai peguam didapati bersalah atas kesalahan itu, tetapi mereka hanya dikenakan denda.
Pada 23 April, panel 5 hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan oleh Ramly Ali turut mengenakan denda RM40,000 ke atas Arun.
Wilson berkata, Arun, yang dijadualkan dibebaskan pada 21 Mei akan membayar denda tersebut.
Arun menulis 2 artikel bertajuk “How a dissenting judgment sparked a major judicial crisis” pada 16 Feb dan “Tommy Thomas must look into arbitration centre that sparked judicial crisis” pada 22 Feb, yang bersikap kritikal terhadap penghakiman Mahkamah Persekutuan November lalu.
Artikel itu juga berkaitan dengan afidavit oleh hakim Mahkamah Rayuan Abdul Hamid Abu Backer, yang memperincikan dakwaan salah laku dalam badan kehakiman.
Ramly berkata, mengikut penilaian objektif, tulisan Arun memburuk-burukkan mahkamah dan merosakkan wibawa badan kehakiman.
Pada 28 Mac Peguam Negara Tommy Thomas berhujah di mahkamah bahawa Arun dengan jelas merujuk kepada 3 hakim Mahkamah Persekutuan apabila menulis 2 artikel tersebut.
Katanya, dengan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Arun mengisyaratkan bahawa hakim berkenaan adalah korup.
Pada 28 Februari, Thomas memperoleh perintah Mahkamah Persekutuan bagi memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Arun atas alasan artikel terbabit memburuk-burukkan hakim Mahkamah Persekutuan dan menghakis keyakinan awam terhadap badan kehakiman.
Arun berhujah bahawa artikel berkenaan adalah untuk kepentingan awam dan beliau hanya mahu membangkitkan keperluan mendesak dilakukan reformasi di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), Kuala Lumpur.