Ancam dipukul, mufti Perlis lapor polis

Ancam dipukul, mufti Perlis lapor polis

Pemilik akaun Facebook bernama ‘Sandev Sandev’ menghantar mesej dan mengancam hendak memukul Mohd Asri hingga 'cedera parah'.

Polis mengesahkan telah mengambil keterangan Asri berhubung perkara ancaman itu dan sedang mengesan suspek berumur 36 tahun yang dipercayai menetap di Pulau Pinang.
KANGAR:
Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin membuat laporan polis selepas menerima mesej berbaur ancaman dan ugutan yang membahayakan dirinya di laman Facebook, semalam.

Ketua Polis Perlis Noor Mushar Mohd berkata, Asri membuat laporan itu di Balai Polis Padang Besar kira-kira jam 6.30 petang semalam kerana bimbang keselamatan diri serta keluarganya.

“Asri menerima satu mesej daripada pemilik akaun Facebook bernama ‘Sandev Sandev’ kira-kira jam 6 petang semalam yang turut mengancam untuk memukulnya sehingga cedera parah.

Pemilik Facebook tersebut turut memberikan nombor telefon dan meminta Asri menghubunginya,” katanya.

Beliau berkata, suspek turut meminta alamat Asri bagi membolehkannya memukul mufti itu.

Noor Mushar berkata, polis telah mengambil keterangan Asri berhubung perkara itu dan sedang mengesan suspek berumur 36 tahun yang dipercayai menetap di Pulau Pinang.

Menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.