
Keputusan itu dicapai selepas pertemuan 6 mata antara mereka dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mujahid Yusof Rawa di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Putrajaya hari ini.
Mujahid yang mempertemukan Asri dan Ramasamy berkata negara ini perlu diberi suntikan, dipupuk dan dijaga supaya tidak rosak keharmonian sedia ada.
“Lepas daripada (pertemuan) ini, saya bersetuju semua pihak tak kira siapa mereka, apa kaum atau agama mereka, dalam isu sensitif haruslah bersabar.
“Jangan diprovokasikan dan cari saluran terbaik tentang isu yang berlaku dalam negara kita. Simbol rakyat Malaysia, kita boleh selesaikan di meja rundingan,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan 40 minit itu.
Pada 25 Julai lalu, Mujahid, Ramasamy dan Asri dilaporkan akan mengadakan pertemuan 6 mata bulan ini.
Mujahid berkata pertemuan itu bagi meminta penjelasan mengenai dakwaan terhadap Ramasamy yang dikatakan terlibat dengan LTTE di Sri Lanka, selain meredakan keadaan antara kedua pihak.
Sementara itu, Asri berkata beliau meminta agar pihak Jakim atau agensi berkaitan menyediakan satu platform sebagai saluran bagi membincangkan isu seperti ini.
Beliau berkata platform itu bagi membolehkan pihak yang berbeza pendapat mempunyai saluran untuk berbincang.
“Mungkin Ramasamy tak ada saluran nak luahkan isu Zakir Naik jadi saya pun tak ada saluran.
“Dan kita bagitahu tadi, sesiapa saja sama ada Zakir Naik ke siapa… Ramasamy bersetuju juga (mereka) boleh duduk di Malaysia dengan syarat menghormati nilai-nilai yang dipakai di negara ini,” katanya.
Ramasamy juga senada dengan Asri, berkata pihaknya berbesar hati atas jemputan Mujahid ke Jakim bagi menyelesaikan perselisihan faham itu dengan saluran yang baik, meskipun pada mulanya ramai yang mempersoalkan keperluannya menerima jemputan tersebut.
“Saya kata saya seorang insan yang pentingkan perbincangan, sama ada saya suka atau tak, tak penting. Keharmonian negara adalah fokus kita dan saya sanggup bincang dengan siapa-siapa.
“Kita tak nak Malaysia ini diperangkap dengan isu-isu seperti ini dan mungkin ini akan ada (pihak) yang ambil kesempatan,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan parti politik dan beberapa NGO mendesak siasatan terhadap Ramasamy, selepas tular gambarnya memberi penghormatan pada gambar senapang Kalashnikov, dan menerima kunjungan ahli politik India yang menyokong LTTE.
Asri dilaporkan menggesa DAP menyatakan pendirian berhubung Ramasamy.
Bagaimanapun, Ramasamy kesal dengan gesaan Asri itu dan berkata jika beliau seorang pengganas sudah tentu DAP tidak akan membenarkannya menyertai parti dan sudah lama ditangkap polis.