
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, pihaknya mengambil maklum segala aduan yang dibuat rakyat dan menjelaskan beliau tidak “memekakkan telinga” berhubung isu berbangkit.
“Tidak betul kata saya tidak mendengar aduan. Telinga saya tidak pekak lagi,” katanya semasa wawancara bersama media sempena setahun pemerintahan Pakatan Harapan.
Zuraida berkata demikian mengulas kritikan NGO Kuala Lumpur Tak Nak Insinerator (KTI) yang tidak gembira dengan kerajaan menerusi KPKT yang tidak membalas undangan mereka untuk hadir forum dan dialog awam mengenai loji pelupusan sampah yang diadakan pada 6 April lalu.
Ia dirancang selepas Zuraida mengumumkan kerajaan sedang mengusahakan inisiatif menukar sampah menjadi tenaga (WTE) yang mana tapak pembuangan sampah akan ditukar menjadi loji insinerator.
Katanya, kerajaan memutuskan untuk tidak membina projek WTE atau loji insinerator di tapak pembuangan sampah Taman Beringin selepas bertemu NGO berkenaan beberapa kali.
“Mereka datang bertemu saya. Saya kata tak ada masalah, saya tidak akan buat di Taman Beringin,” katanya.
Zuraida turut memaklumkan ketika pertemuan, KTI mencadangkan projek kitar semula di Taman Beringin.
Katanya, beliau tidak menolak cadangan itu sambil memaklumkan program kitar semula akan dibuat kemudian tetapi kerajaan sekarang sedang mengutamakan pembersihan sampah di seluruh negara.
Naib presiden PKR itu berkata, kerajaan perlu meneroka pilihan dalam melaksanakan WTE di Serendah selepas membatalkan rancangan membina loji WTE di Taman Beringin.
Zuraida dilaporkan berkata setiap negeri akan memiliki 1 loji WTE dan loji pertama WTE adalah di tapak pelupusan sampah di Tanah Merah, Negeri Sembilan yang dijangka beroperasi pada Jun. Tapak pelupusan sampah lain ialah di Bukit Payong dan Seelong di Johor, Jabi dan Samling di Kedah serta Bukit Tagar di Selangor.
“Saya fikir orang ramai lebih terdedah dan memahami teknologi semakin maju sekarang. Mereka tidak lagi risau sebagaimana pada masa lalu.
“Orang ramai perlu belajar untuk menjadi lebih terbuka mengenainya supaya negara boleh maju dengan membersihkan semua sampah itu,” katanya sambil menjelaskan loji WTE di lain-lain tempat di dunia di bina di tengah-tengah bandar atau kawasan perumahan.
Zuraida turut menjelaskan terdapat salah faham dalam kalangan orang ramai yang mendakwa berlaku rasuah dalam kelulusan permit mengimport plastik.
“Kita perlu faham ada 26 jenis plastik yang diimport ke negara ini, di mana hanya 1 daripadanya (Kod Plastik HS 3915) yang dikendalikan oleh kementerian.
“Kami mengendalikan kod plastik tertentu ini, kami memeriksa semua plastik yang masuk ke negara ini. Terdapat hanya 54 kilang yang tersenarai di bawah Kod HS 3915, kilang-kilang lain adalah haram,” katanya.
Menurut Zuraida selepas menyedari undang-undang berkaitan gagal mencegah kerana cuma mengenakan denda sebanyak RM300 terhadap pengendali kilang haram, kerajaan bercadang meminda peraturan untuk meningkatkan denda kepada RM500,000.
Berjaya laksana 3 dasar utama
Dalam perkembangan lain, Zuraida menyifatkan Dasar Perumahan Negara 2.0 adalah antara 3 dasar utama yang berjaya dilaksanakan selepas kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negara sejak 9 Mei tahun lalu.
Katanya, pencapaian tersebut sukar dicapai sekiranya tidak mendapat kerjasama padu daripada pegawai dan kakitangan kerajaan yang memahami visi dan misi KPKT.
Menurutnya, di bawah dasar tersebut rumah yang sudah melebihi usia 30 tahun akan dibangunkan semula. Inisiatif itu selari dengan visi KPKT yang ingin mewujudkan persekitaran hidup berkualiti dan mampan selaras dengan wawasan negara.
“Misalnya, kini pihak kementerian berusaha membangunkan semula Flat Taman Keramat Permai di Ampang, Selangor yang baru-baru ini dilaporkan mengalami keretakan struktur bangunan dengan kelengkapan canggih.
“Ia berikutan hasil tinjauan mendapati selain fasiliti asas, penduduk di kawasan perumahan terbabit turut berdepan masalah sistem pembetungan, sistem pendawaian dan pemasangan elektrik yang terlalu lama,” katanya.
Sementara itu, Dasar Perumahan Negara 2.0 turut merangkumi polisi lengkap pemilikan dan pembiayaan kediaman.
Rumah Mampu Milik
Mengulas lanjut, Zuraida merangkap ahli Parlimen Ampang memberitahu, selain Dasar Perumahan Negara, KPKT juga berjaya melaksanakan Dasar Rumah Mampu Milik (DRMM).
Dasar pertama kali diwujudkan itu adalah untuk membantu kumpulan berpendapatan 40% terendah (B40) memiliki rumah mampu milik yang kondusif.
“Dalam dasar ini, harga projek rumah untuk keluasan sekurang-kurangnya 900 kaki persegi sama ada dibina kerajaan mahupun pemaju swasta adalah ditetapkan pada harga RM90,000 hingga RM300,000.
“Bagaimanapun, harga rumah itu bergantung pada lokasi dan purata pendapatan penduduk setempat di kawasan berkenaan.
“Kementerian sudah mengenalpasti 100,000 unit rumah mampu milik yang bakal dibina di seluruh negara dan setakat ini 30,000 unit telah diluluskan untuk pelaksanaan pembinaan,” katanya.
Dasar Komuniti Negara
Dalam pada itu, KPKT tidak ketinggalan melaksanakan Dasar Komuniti Negara untuk mewujudkan masyarakat berdaya saing dan memiliki perasaan kebersatuan bagi membolehkan komuniti hidup dalam keadaan harmoni, sejahtera dan cemerlang.
Dasar berkenaan tertumpu kepada 8 kluster utama iaitu infrastruktur dan penyelenggaraan, kebersihan, alam sekitar dan kesihatan, keselamatan, pendidikan dan kemahiran.
“Bagi menggerakkan dasar ini kementerian mengambil inisiatif menubuhkan Sekretariat Muafakat Komuniti di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh negara yang mana projek pertama di PPR Lembah Subang 2, Subang dan diikuti PPR Kota Baharu,” katanya.
PH ubah kerajaan kleptokrat
Zuraida berkata Pakatan Harapan membawa satu perubahan besar kepada negara kerana tidak lagi dikenali sebagai kerajaan kleptokrat, sebaliknya sebuah kerajaan yang bersih.
Katanya, rakyat sebenarnya kini boleh berlapang dada dengan perubahan besar yang dibawa kerajaan berbanding ketika negara masih di bawah kerajaan Barisan Nasional.
“Mungkin ada antara kita sudah terlupa permasalahan yang dihadapi kini bukanlah suatu perkara baru kerana sebahagian besarnya diwarisi PH daripada kerajaan terdahulu.
“Sudah tentu kita memerlukan masa untuk memulihkan semuanya, lebih-lebih lagi dengan situasi ekonomi, politik dan sosial yang sedang kita hadapi sekarang.
“Namun begitu, kita boleh berlapang dada kerana imej dan nama negara yang dahulunya dikenali sebagai sebuah kerajaan kleptokrasi kini dibersihkan,” katanya mengulas laporan yang dikeluarkan oleh pusat kajian, Merdeka Center yang mendapati kadar sokongan terhadap kerajaan PH merosot kepada 39% berbanding 79% pada Mei tahun lalu.
Zuraida berkata, dalam beberapa kaji selidik yang dilakukan juga jelas membuktikan kerajaan hari ini berjaya menangani gejala rasuah yang dahulu menjadi barah dan merencatkan pembangunan negara.
“Malaysia sedang berada di landasan yang betul dengan pelbagai inisiatif dirancang dan dilaksanakan untuk meningkatkan keupayaan negara.
“Saya ingin menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk terus memberikan sokongan padu kepada kerajaan,” katanya.