
Tariq Ismail Mustafa menggesa “peraturan jelas” untuk “mewujudkan kewarasan”.
“Ramai yang menghina Islam dan ramai umat Islam menghina agama lain, tetapi bilakah tindakan ini akan berakhir?
“Saya seorang umat Islam, saya tersinggung apabila orang lain menghina agama saya. Pada masa sama, saya juga rasa malu apabila umat Islam menghina agama lain,” katanya kepada FMT mengulas kenyataan Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin.
Asri mengkritik kerajaan Pakatan Harapan susulan penahanan seorang sekutunya yang juga pendakwah, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu atas dakwaan menghina agama Hindu.
Asri mendakwa hanya sebilangan kecil pemimpin PH yang “mempertahankan Islam”.
“Anda boleh terus berdoa, tetapi tiada gunanya apabila anda tinggalkan bilik, anda lupa apa yang anda doakan,” kata Tariq yang juga cucu bekas timbalan perdana menteri ke-2, Dr Ismail Abdul Rahman.
“Ini bukan hanya untuk umat Islam, tetapi penganut agama lain juga.”
Tariq berkata, beliau tidak mahu mengadili sama ada Asri betul atau salah, tetapi Putrajaya patut membentangkan RUU Anti-diskriminasi jika ia mahu menjadi “kerajaan untuk semua rakyat Malaysia”.
“Mungkin kewarasan akan muncul selepas itu.”
Julai tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa dilaporkan berkata, RUU Anti-diskriminasi akan dibentangkan di sidang Dewan Rakyat pada Mac lalu, tetapi ia tidak berlaku.