Doktor luah kedaifan klinik luar bandar Sabah di FB

Doktor luah kedaifan klinik luar bandar Sabah di FB

Chun Tean merancang untuk bertemu pengarah Jabatan Kesihatan Sabah esok untuk menceritakan keadaan klinik di mana dia bertugas.

Lantai kotor dan sistem memanggil pesakit yang rosak adalah perkara biasa di kebanyakan klinik luar bandar di Sabah.
KOTA KINABALU:
Seorang doktor di salah sebuah klinik di sini merancang untuk bertemu pengarah Jabatan Kesihatan Sabah esok untuk menceritakan keadaan klinik di mana dia bertugas.

Doktor tersebut yang berkongsi masalahnya di Facebook menggunakan nama Chun Tean, menyenaraikan 7 isu yang dihadapinya dan rakan-rakan di klinik terbabit.

Isu berkenaan termasuklah terpaksa membayar perkhidmatan pembersihan klinik dan pembaikan penghawa dingin menggunakan wang sendiri, terpaksa membeli alat tulis sendiri atau menggunakan kertas kitar semula untuk menulis surat rujukan, dan tidak ada set denggi kit walaupun sekarang ini musim denggi.

Chun Tean juga berkata dia kadang-kadang merasa kurang dihargai walaupun bekerja lebih masa.

“Sebelum ini, kami menutup kaunter pendaftaran pada jam 8.45 malam untuk merawat pesakit yang masih ada di klinik itu sebelum tutup pada pukul 9.30 malam. Tetapi baru-baru ini, seorang pesakit mengadu di Facebook mengatakan klinik kami teruk kerana kami tutup sebelum waktu sepatutnya.

“Sejak saat itu, kami tidak dibenarkan menutup kaunter sebelum 9.15 malam dan kami masih perlu menerima pesakit jika mereka tiba pada jam 9.29 malam.

“Kadang-kadang, saya masih mempunyai 15 hingga 20 pesakit pada jam 8.45 malam, dan saya bertugas sendirian, namun saya perlu menutup klinik pada jam 9.30 malam,” keluhnya.

Dia berkata perkara itu hanya akan diambil tindakan, untuk lebih baik atau lebih teruk, apabila seseorang mengeluh di media sosial.

Keadaan kebersihan di kliniknya diselesaikan selama beberapa bulan selepas seseorang mengeluh tentang kebersihan tetapi ia kembali ke keadaan sebelumnya selepas dana habis digunakan.

Penghawa dingin yang rosak juga dibaiki selepas seorang pesakit yang ada kaitan dengan VIP mengadu tentang perkara itu dalam media social. Seorang ahli politik yang terkejut dengan keadaan klinik itu membaiki semua penghawa dingin.

Chun Tean berkata dia terpaksa menyuarakan keprihatinannya dalam Facebook peribadinya kerana dia menyedari badan kerajaan hanya bertindak apabila sesuatu isu dimuat naik di media sosial tetapi tiada tindakan apabila saluran yang betul digunakan.

Dia menamatkan catatannya dengan mempertahankan keputusannya menggunakan media sosial, mengatakan dia hanya mahu mempertahankan haknya sebagai penjawat awam.

“Saya mempertaruhkan karier saya untuk klinik dan pesakit saya. Jika apa-apa berlaku kepada kerjaya saya, anda tahu siapa yang bertanggungjawab.

“Saya menulis berdasarkan apa yang saya lihat dan alami. Saya mungkin salah dan tidak ‘up to date’ dengan rancangan mereka,” katanya.

Catatan itu yang dimuat naik kelmarin, menerima lebih 1,500 perkongsian dan 300 komen, kebanyakannya dari mereka yang memuji Chun Tean atas keberaniannya, namun ada juga yang mengatakan dia tidak sepatutnya menggunakan media sosial.

Ada pula yang mengatakan keadaan Chun Tean tidaklah unik kerana perkara sama terjadi di banyak klinik pinggir bandar dan luar bandar di seluruh negara.

Terdapat juga pengulas yang menasihati Chun Tean untuk berdoa agar pilihan raya diadakan sebab kerajaan akan menyediakan dana untuk menaik taraf semua kemudahan di kawasan itu contohnya apa yang berlaku di Sandakan.

Catatan terakhir Chun Tean menyatakan dia akan bertemu dengan pengarah jabatan pada hari ini tetapi mengakui dia tidak tahu apa yang akan berlaku.

“Saya mungkin menggunakan saluran yang salah untuk menyuarakan masalah, tetapi sekurang-kurangnya kita didengari, dan saya hanya berjuang untuk hak klinik saya dan pesakit saya. Saya sudah menjangkakan akibat yang paling teruk,” katanya.

Sementara itu, bercakap dengan FMT, pemangku menteri kesihatan dan kesejahteraan rakyat, Frankie Poon berkata dia tahu mengenai masalah Chun Tean dan mengarahkan kakitangan kementerian untuk menyiasat perkara itu.

Dia berkata aduan itu malangnya agak normal sebelum kerajaan baru mengambil alih.

“Bagaimanapun, saya akan membincangkan perkara itu dengan pengarah dan saya fikir selepas Khamis, saya boleh memberi ulasan yang lebih baik mengenai isu itu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.