2 lelaki asing maut di hospital Ipoh disyaki akibat arak tiruan

2 lelaki asing maut di hospital Ipoh disyaki akibat arak tiruan

Pengarah kesihatan Perak berkata, 2 mangsa itu mengalami gejala kabur penglihatan, loya, muntah, sakit perut dan kurang sedar selepas mengambil minuman beralkohol.

Dr Ding Lay Ming berkata, 2 lelaki Bangladesh dan Myanmar dimasukkan ke unit rawatan rapi Hospital Raja Permaisuri Bainun pada 28 April lalu dan meninggal dunia awal pagi ini.
IPOH:
Dua lelaki masing-masing warga Bangladesh dan Myanmar meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini, hari ini disyaki mengalami keracunan metanol.

Pengarah Kesihatan Perak, Dr Ding Lay Ming berkata kedua-dua mangsa dimasukkan ke unit rawatan rapi hospital itu pada 28 April lalu selepas mengalami gejala kabur penglihatan, loya, muntah, sakit perut dan kurang sedar selepas mengambil minuman beralkohol.

“Kedua-dua lelaki itu dilaporkan dalam keadaan kritikal semasa dimasukkan ke hospital dan meninggal dunia awal pagi ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ding berkata, sampel klinikal kedua-dua kes dihantar ke makmal untuk pengesanan metanol dan keputusannya belum diterima.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian itu dan pemantauan ke atas jualan minuman beralkohol di pasaran juga akan dipertingkatkan.

Beliau berkata, keracunan metanol boleh menyebabkan gejala sakit perut, sesak nafas, kabur penglihatan, loya, muntah, pening atau sakit kepala yang teruk serta kekejangan kaki.

“Orang ramai dinasihat mengelakkan pengambilan minuman beralkohol tiruan. Sekiranya terdapat individu yang mengalami mana-mana gejala tersebut selepas pengambilan minuman beralkohol, sila dapatkan rawatan di hospital terdekat dengan kadar segera.”

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Ahmad Adnan Basri berkata polis yang bertugas di pondok polis 10 hospital itu menerima maklumat mengenai kematian seorang buruh binaan warga Myanmar dikenali sebagai Than Hta Young, 40, kira-kira 10 pagi tadi.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati mangsa meninggal dunia dipercayai akibat keracunan minuman keras.

“Mangsa dipercayai membeli minuman keras itu di Pusing, dekat Batu Gajah. Hasil pemeriksaan awal mendapati tiada unsur-unsur jenayah,” katanya dalam satu kenyataan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Mohd Ali Tamby berkata sebelum lelaki Bangladesh dikenali sebagai Roy yang berumur 32 tahun meninggal dunia, dia dipercayai mahu meminjam wang rakannya untuk membayar kos rawatan di Klinik Balbir Menglembu di sini pada 28 April lalu.

“Rakan si mati kemudian datang ke klinik tersebut untuk membayar kos rawatan si mati dan pada masa sama, doktor di klinik tersebut menyarankan si mati dibawa ke HRPB untuk rawatan lanjut.

“Dia bersama si mati telah pergi ke HRPB menggunakan teksi dan dalam perjalanan, si mati menceritakan dia loya dan muntah-muntah serta pening kepala.”

Katanya, setibanya di hospital, mangsa ditahan di wad selama 2 hari untuk menjalani rawatan susulan dan disahkan meninggal dunia hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.