Kumpulan pro-Mahathir bimbang diketepi dalam PPBM Sabah

Kumpulan pro-Mahathir bimbang diketepi dalam PPBM Sabah

Pemimpin Umno yang keluar parti secara beramai-ramai untuk menyertai PPBM di Sabah kini berisiko diketepikan.

Dr Mahathir Mohamad melancarkan PPBM Sabah di Kota Kinabalu pada 6 April lepas.
PETALING JAYA:
Keluhan rasa tidak puas hati dalam PPBM Sabah mula kedengaran,menurut seorang sumber dalaman parti, tidak sampai sebulan selepas pengerusi Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad melancarkan parti itu di negeri tersebut di hadapan lautan penyokong.

Sumber tersebut, seorang veteran dalam politik Sabah berkata, sekurang-kurangnya 10 bekas pemimpin kanan Umno, termasuk beliau, sebelum ini dijanjikan jawatan pimpinan bahagian PPBM di negeri itu tetapi sehingga kini tidak ada tanda ia akan berlaku.

“Di satu pihak, tidak ada berita tentang janji yang dibuat kepada kami, dan di satu pihak lain, terdengar desas-desus tentang pemimpin muda yang rapat dengan seorang pemimpin “lain” PPBM disebut-sebut akan mengetuai bahagian parti,” katanya kepada FMT.

Pemimpin Umno yang keluar parti secara beramai-ramai untuk menyertai PPBM yang dipengerusikan oleh Dr Mahathir kini berisiko diketepikan, kata sumber itu lagi.

Walaupun pemimpin tertinggi PPBM menafikan wujudnya perbezaan antara Dr Mahathir dengan presiden parti, Muhyiddin Yassin, namun pemimpin di Sabah tidak terlalu yakin.

“Ramai daripada kami menyertai PPBM kerana mempercayai kepimpinan Dr Mahathir. Kami belum membuat aduan kepada beliau kerana percaya masanya tidak sesuai untuk berbuat demikian.

“Walaupun pemimpin kanan seperti kami mendapat sokongan akar umbi, kami berasa bimbang tentang usaha mahu “menguburkan” pemimpin yang menyokong Dr Mahathir,” katanya.

Beliau berkata, mereka tidak akan berundur, tetapi perselisihan dalam PPBM Sabah boleh membahayakan sokongan pengundi.

“Kelompok pengundi Bumiputera Islam di Sabah kini berpecah kepada Umno, Warisan dan PPBM, termasuk sebilangan kecil yang menyokong PKR dan Gabungan Parti Sabah. Justeru, perselisihan dalaman tidak baik untuk kami dan juga PH,” katanya.

Pengerusi PPBM Sabah, Hajiji Noor bagaimanapun menafikan bahawa pihaknya menjanjikan jawatan kepada mana-mana bekas pemimpin Umno di negeri itu.

Beliau berkata, kelewatan dalam pelantikan rasmi ke jawatan dalam parti disebabkan pendaftaran PPBM Sabah dengan Pendaftar Pertubuhan belum dimuktamadkan.

“Bagaimanapun sesiapa yang tidak berpuas hati dengan pemimpin bahagian yang dilantik boleh merebut jawatan tersebut dalam pemilihan parti,” kata Hajii.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.