
Guan Eng berkata demikian ketika memberikan keterangan dalam kes saman fitnah beliau terhadap kenyataan pemangku ketua Pemuda Gerakan, Jason Loo berhubung penjualan tanah di Peel Avenue kepada Island Hospital di Mahkamah Tinggi hari ini.
“Laporkan berdasarkan fakta yang betul. Di dalam kes ini, akhbar yang melaporkan seharusnya memaparkan apa yang telah disebut dan yang diperkatakan oleh Jason Loo dan laporkan dengan fakta yang benar,” katanya.
Guan Eng mengemukakan 3 saman terhadap kenyataan Loo pada sidang media pada 29 Mei 2017 berhubung penjualan tanah tersebut.
Pada Februari 2018, Guan Eng memfailkan 3 saman fitnah secara berasingan terhadap Loo kerana dengan niat jahat membuat kenyataan palsu dan fitnah serta akhbar The China Press Bhd dan Guang Ming Ribao kerana menerbitkan kenyataan tersebut.
Guan Eng dalam keterangannya juga berkata akhbar terbabit juga perlu melaporkan sebarang berita atau isu tanpa sebarang ketakutan.
Pada prosiding hari ini, Loo selaku defendan pertama bertindak mewakili dirinya sendiri.
Sementara itu, Guan Eng tidak bersetuju dengan Loo ketika peguam itu menyatakan Guan Eng gagal menjawab segala pertanyaan berhubung tentang isu berkenaan penjuaan tanah Peel Avenue itu.
Guan Eng turut menafikan pertanyaan Loo bahawa beliau tidak mahu memberitahu media berkenaan penjualan tanah berkenaan ketika Loo mempersoalkan Guan Eng berbuat demikian selepas kenyataan berhubung perkara tersebut didedahkan Loo.
Perbicaraan di hadapan Hakim Rosilah Yop bersambung 13 Mei ini.