Majikan bebas tuduhan bunuh amah: Suruhanjaya Indonesia gesa Malaysia merayu

Majikan bebas tuduhan bunuh amah: Suruhanjaya Indonesia gesa Malaysia merayu

Komnas Perempuan berkata masih ada masa 14 hari untuk timbalan pendakwa raya merayu terhadap pembebasan Ambika MA Shan.

Adelina Lisao meninggal dunia akibat kegagalan pelbagai organ selepas didakwa didera majikannya di sebuah rumah di Bukit Mertajam tahun lepas. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Kebangsaan mengenai Keganasan Terhadap Wanita (Komnas Perempuan) mahu Malaysia membuat rayuan terhadap pembebasan seorang wanita yang didakwa membunuh pembantu rumahnya warga Indonesia.

Pada 19 April, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang memberi pembebasan sepenuhnya terhadap Ambika MA Shan atas tuduhan membunuh selepas timbalan pendakwa raya meminta dia dilepaskan tanpa dibebaskan.

Ambika didakwa membunuh Adelina Lisao, 26, yang meninggal dunia akibat kegagalan pelbagai organ selepas didakwa didera majikannya di sebuah rumah di Bukit Mertajam tahun lepas.

Komnas Perempuan menggesa kerajaan Indonesia mendesak timbalan pendakwa raya merayu terhadap pembebasan tersebut, mengatakan masih ada masa 14 hari untuk berbuat demikian.

Ia melabelkan keputusan pembebasan Ambika sebagai “pengkhianatan rasa keadilan bagi Adelina, keluarga pekerja migran Indonesia, bangsa Indonesia dan Asean”.

“(Kami mahu kerajaan Indonesia) berjuang dan memenuhi hak Adelina dan keluarganya sebagai mangsa, termasuk pampasan bagi keluarga dan hak kebenaran dan keadilan,” katanya dalam satu kenyataan.

Suruhanjaya itu berkata kematian Adelina yang mencetuskan kemarahan di Malaysia adalah hasil perlindungan yang tidak mencukupi dari Malaysia dan Indonesia terhadap pekerja migran yang berisiko diperdagangkan.

Ia mengingatkan kerajaan Indonesia bahawa ia mempunyai kewajipan untuk melindungi pekerja asing mengikut undang-undang tempatan dan antarabangsa.

“Pembebasan pelaku (didakwa) akan menetapkan duluan buruk, menyebarkan kebebasan daripada hukuman dan menghilangkan hak pekerja migran untuk perlindungan dan keadilan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.