
Felo Penyelidik Utama Bersama Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, Teo Kok Seong berkata kerajaan tidak sepatutnya berkompromi untuk melonggarkan 2 subjek itu.
“Ada 3 subjek yang sepatutnya kerajaan tak boleh kompromi tidak kira Orang Asli atau warganegara Malaysia iaitu bahasa Melayu, Sejarah dan Pengajian Islam bagi pelajar Islam dan Pendidikan Moral bagi pelajar bukan Islam.
“Tiga mata pelajaran akademik ini merupakan pembentukan negara bangsa dan ada kandungan pembentukan bangsa kita,” katanya kepada FMT.
Teo berkata subjek bahasa Melayu dan Sejarah juga penting kerana mempunyai semangat kebangsaan dan nilai patriotisme.
“Jika nak beri kelonggaran bahasa Inggeris nak tutup sebelah mata lagi masih boleh, tetapi bukan untuk subjek Bahasa Melayu dan Sejarah,” katanya.
Semalam, Kula Segaran yang juga menteri Sumber Manusia berkata Orang Asli bukan saja diberikan latihan secara percuma tetapi akan melonggarkan syarat kemasukan ke ILP dengan mengecualikan keperluan lulus bahasa Melayu, Sejarah, Matematik dan 1 subjek lain dalam SPM.
“Kita beri peluang besar kepada mereka, beri kelonggaran asalkan tahu baca dan menulis kita tawarkan kursus yang sesuai kepada mereka,” katanya sambil menyifatkan usaha tersebut sebagai galakan luar biasa kepada Orang Asli yang masih jauh ketinggalan dalam pelbagai aspek.
Perunding Bahasa Majlis Perundingan Melayu (MPM), Awang Sariyan berkata kerajaan perlu mematuhi dasar negara terutama subjek bahasa Melayu yang menjadi asas dasar dan sistem pendidikan kebangsaan.
Katanya, jika pelajar tidak memiliki kelulusan bahasa Melayu yang wajar, mereka perlu dilatih dan diberi peluang mengambil peperiksaan khas bagi mata pelajaran itu di peringkat SPM.
“Cara membantu begitu lebih wajar daripada menyalahi dasar dan sistem pendidikan kebangsaan walaupun saya sangat setuju anak Orang Asli dibantu,” katanya.
Awang berkata jika kerajaan mengambil mudah soal dasar, ini akan membuka pengecualian lain pada masa akan datang.
“Ini buruk daripada segi kemantapan dasar dan sistem pendidikan negara,” katanya.