Pertandingan 5 penjuru di PRK Sandakan

Pertandingan 5 penjuru di PRK Sandakan

Lima calonnya ialah Vivian Wong dari PH, Linda Tsen dari PBS serta 3 calon bebas, Hamzah Abdullah, Chia Siew Yung dan Sulaiman Abdul Samat.

(Dari kiri) Linda Tsen dari PBS, Chia Siew Yung (bebas), Vivian Wong (PH), Hamzah Abdullah (bebas) dan Sulaiman Abdul Samat (bebas).
SANDAKAN:
Pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sandakan yang akan berlangsung pada 11 Mei ini akan menyaksikan pertandingan 5 penjuru.

Lima calon PRK itu ialah Vivian Wong dari Pakatan Harapan, Linda Tsen dari Parti Bersatu Sabah (PBS) serta 3 calon bebas, Hamzah Abdullah, Chia Siew Yung dan Sulaiman Abdul Samat.

Nama mereka diumumkan oleh pegawai pengurus pilihan raya, Mohd Hamsan Awang Supain pada penutup penamaan calon di SMJK Tionghua pukul 10.30 pagi hari ini.

Pada sidang media, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Azmi Sharom berkata seramai 57 pemerhati dari 10 organisasi, termasuk agensi kerajaan dan NGO dan 2 individu dilantik untuk mengawasi proses pilihan raya terbabit.

“Kira-kira 70% pengundi dijangka keluar mengundi dan keputusannya akan diketahui pada jam 10 malam pada 11 Mei,” katanya.

Kerusi Parlimen Sandakan kosong selepas penyandangnya, Stephen Wong, meninggal dunia akibat serangan jantung pada 28 Mac.

Pada PRU14, Wong memperoleh 19,094 undi, menewaskan calon BN, Lim Ming Hoo yang memperoleh 8,996 undi.

Sandakan mempunyai 39,777 pengundi berdaftar – dengan kaum Cina menguasai 49% penduduk, Bumiputera Islam (44 %) dan Bumiputera bukan Islam (6%).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.