PRU15: Susun gerak kempen, jangan usik lawan, pesan Tok Mat

PRU15: Susun gerak kempen, jangan usik lawan, pesan Tok Mat

Mohamad Hasan mahu jentera BN menggunakan pendekatan berhemah sepanjang kempen PRU kali ini.

Mohamad Hasan, yang bertanding di Parlimen Rembau mewakili BN, mengingatkan pengundi agar memilih kerajaan yang berpengalaman dalam mengurus tadbir negara. (Gambar Facebook)
REMBAU:
Barisan Nasional (BN) Rembau akan menggunakan pendekatan berhemah dan tidak akan “mengusik” sesiapa, termasuk lawan mereka sepanjang kempen pilihan raya umum (PRU15) yang bermula hari ini.

Calon BN Parlimen Rembau Mohamad Hasan, atau lebih mesra dipanggil Tok Mat, berkata semua jentera parti diminta menjalankan gerak kempen dengan lebih tersusun dan menyantuni seramai mungkin pengundi di sini.

“Kita telah menetapkan supaya kempen kali ini tidak akan mengusik sesiapa. Tumpuan sepanjang kempen adalah mendekati pengundi di Rembau,” katanya selepas selesai penamaan calon di Dewan Seri Rembau hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad mengakui parti lain yang bertanding di Rembau mempunyai kekuatan masing-masing.

Justeru, beliau mengingatkan jentera parti supaya tidak leka dalam mengurus gerak kerja sebaik mungkin.

Di Rembau, Mohamad akan berdepan saingan lima penjuru.

Selain timbalan presiden Umno itu, calon lain yang bertanding terdiri daripada Nazree Yunus (PN), Jufitri Joha (PH), S Tinagaran (PSM), dan Ramly Awalluddin (Pejuang).

Sementara itu, Mohamad mengingatkan pengundi supaya memilih parti yang mempunyai rekod prestasi terbaik dan berpengalaman dalam mengurus tadbir negara dengan baik.

“Sejak 2018, semua parti telah diberi peluang untuk menubuhkan kerajaan dan kita dapat bezakan dalam empat tahun ini, siapa yang patut kita beri mandat untuk tadbir negara selepas 19 Nov.

“Pastikan kerajaan ditubuhkan ini stabil, negara perlu kerajaan stabil seperti yang kita dapat dulu kerana kita tidak mahu pembangunan dan ekonomi terencat.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.