
Tommy berkata, berdasarkan perspektif perundangannya yang jelas, adalah sukar untuk tidak meratifikasi statut berkenaan, sekaligus menafikan tuduhan dan berita palsu yang dibawa pihak tertentu membabitkan Statut Rom.
Menurutnya, Kabinet sewaktu pentadbiran terdahulu pada 18 Mac 2011 bersetuju dengan Statut Rom namun tidak pernah meratifikasikannya dan apa dilakukan kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah menyambung keputusan terdahulu.
“Pengkritik pada hari ini pernah menyokong keputusan yang ada pada hari ini. Bagaimana pihak berkenaan yang membantah Statut Rom menyebarkan berita palsu.
“Dan mengelirukan masyarakat dengan menyatakan ia akan mengugat kedudukan Raja-raja Melayu,” katanya sewaktu berucap di Forum Awam Malaysia dan Statut Rom di Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (UM).
Tommy turut menegaskan kedudukan Yang Di Pertuan Agong sebagai raja berpelembagaan, yang bertindak atas nasihat perdana menteri terkecuali atas perkara yang terkandung dalam Statut Rom.
Jelasnya, walaupun Agong merupakan komander tertinggi angkatan tentera, keputusan untuk mulakan perang adalah sentiasa di bawah kuasa perdana menteri, menteri pertahanan dan Kabinet.
Beliau memberi contoh apa yang berlaku di United Kingdom pada suatu masa lalu, di mana Perdana Menteri, Tony Blair mengarahkan negara itu lakukan pencerobohan haram di Iraq pada 2003.
“Pada masa itu, tidak ada yang salahkan Ratu Elizabeth sebagai raja berpelembagaan dan ketua angkatan tentera, dan perlu untuk dibawa ke mahkamah,” katanya.
Raja Melayu tidak lagi kebal
Jelas Tommy, kekebalan Raja-raja Melayu sudahpun terhapus sejak 25 tahun lalu apabila Perlembagaan Persekutuan dipinda pada 1993 dengan penubuhan Mahkamah Khas bagi kesalahan yang dilakukan Raja-raja Melayu.
“Apa yang berbeza adalah rakyat biasa diadili di mahkamah biasa, manakala Raja-raja Melayu diadili di Mahkamah Khas,” katanya.
Tommy turut menyenaraikan 4 kesalahan besar yang akan melibatkan Statut Rom, seperti jenayah pembunuhan beramai-ramai, jenayah perang, jenayah terhadap manusia dan pencerobohan.
“Apa yang kita kecoh sangat, Statut Rom hanya terguna pakai sekiranya polis di Malaysia tidak lakukan siasatan dan tidak ada pendakwaan dari Pejabat Peguam Negara terhadap kesalahan yang dilakukan.
“Dari situlah Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) akan bertindak. Bahkan selepas kita tandatangani Statut Rom, kesalahan lampau juga tidak terguna pakai,” katanya.
Tommy turut menegaskan keputusan menandatangani Statut Rom akan mengelakkan penjenayah yang terlibat dalam 4 jenayah terbabit menjadikan Malaysia sebagai tempat berlindung.
Sebelum ini, Kementerian Luar Negeri berkata kerajaan masih belum mengalah dalam usaha meratifikasi Statut Rom, meskipun terdapat pihak yang cuba memanipulasi perjanjian tersebut.
Menterinya, Saifuddin Abdullah berkata, kementeriannya akan mendedahkan usaha pihak terbabit yang menakut-nakutkan masyarakat dengan menyebarkan fakta yang salah mengenai perjanjian itu.
Terdahulu, sekumpulan aktivis pelajar mendedahkan imej satu dokumen dikemukakan kepada Raja-raja Melayu yang menurut mereka mungkin bertanggungjawab menggagalkan langkah kerajaan meratifikasi Statut Rom.
Dokumen itu mendakwa, ratifikasi Statut Rom akan menyebabkan Agong boleh didakwa di Mahkamah Jenayah Antarbangsa atas peranan baginda sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera.
Menurut mereka, Agong memegang tanggungjawab operasi sebagai pemerintah tertinggi tentera, melampaui peranan baginda sebagai ketua lambang atau istiadat.
Awal bulan lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memaklumkan kerajaan menarik diri daripada meratifikasi Statut Rom yang ditandatangani 4 Mac.