Putrajaya digesa dedah laporan kebakaran hospital Johor pada 2016

Putrajaya digesa dedah laporan kebakaran hospital Johor pada 2016

Transparency International Malaysia berkata, pendedahan laporan itu boleh membantu mencegah kebakaran yang mengorbankan 6 pesakit itu berulang.

Anggota bomba dan penyelamat memadamkan kebakaran di Hpspital Sultanah Aminah di Johor Bahru pada Oktober 2016. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Putrajaya digesa mendedahkan laporan inkuiri ke atas kebakaran di Hospital Sultanah Aminah, Johor pada 2016 yang mengorbankan 6 pesakit.

Tahun lalu, sebuah panel inkuiri 7 anggota yang diketuai hakim bersara, Mohd Hishamuddin Yunus membentangkan laporan setebal 230 muka surat kepada Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Chen Chaw Min.

Bagaimanapun, laporan itu belum diumumkan selepas hampir setahun.

Presiden Transparency International Malaysia, Muhammad Mohan memberitahu FMT pendedahan penemuan inkuiri itu dan cadangan mereka boleh membantu mencegah kejadian sama berulang.

“Inkuiri penting untuk kita belajar daripada kesilapan. Mungkin ada kesilapan kecil atau kelemahan dalam keselamatan yang menyebabkan kebakaran itu.

“Kelemahan itu mungkin wujud di hospital lain di seluruh negara. Jadi, jika ia ditekankan, kita boleh mengambil langkah membetulkannya.”

Beliau menggesa kerajaan mendedahkan laporan itu dan mengambil tindakan terhadap cadangan inkuiri terbabit sejajar pendirian Pakatan Harapan untuk bersikap telus dalam pentadbiran.

Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial berkata, Putrajaya perlu mengeluarkan laporan itu sebagai sebahagian komitmennya untuk pembaharuan, khasnya dalam ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus baik.

“Kerajaan perlu berbuat demikian untuk memastikan 6 nyawa yang hilang dalam insiden itu tidak sia-sia, tetapi akan membawa kepada penambahbaikan dalam langkah keselamatan, penyelenggaran dan pembinaan bangunan awam,” kata Ketua Pengarah Eksekutif badan pemikir itu, Azrul Khalib.

Selepas laporan itu disiapkan tahun lalu, Hishamuddin dilaporkan berkata, panel inkuiri itu mengemukakan 23 cadangan dan kerajaan perlu mendedahkan laporan itu.

Panel inkuiri itu dilantik Menteri Kesihatan ketika itu, Dr S Subramaniam dan diluluskan Kabinet pada Disember 2016.

Pada 26 Oktober 2016, 4 pesakit wanita dan 2 pesakit lelaki maut dalam kebakaran di bahagian selatan unit rawatan rapi tingkat 2 Hospital Sultanah Aminah.

Seorang lagi pesakit lelaki berjaya diselamatkan anggota bomba.

Doktor dilaporkan berkata, pesakit yang bergantung kepada mesin bantuan pernafasan tidak boleh dipindahkan dari katil mereka.

Satu lagi kebakaran berlaku di hospital Johor Bahru itu keesokannya. Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kematian dilaporkan.

FMT cuba menghubungi Kementerian Kesihatan untuk mendapatkan komen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.