Polis silap kenal pasti aktivis AS sebagai suspek letupan di Sri Lanka

Polis silap kenal pasti aktivis AS sebagai suspek letupan di Sri Lanka

Polis Sri Lanka mengenal pasti Abdul Cader Fathima Khadhiya sebagai seorang daripada 6 suspek dikehendaki, tetapi mereka tersilap dalam menyertakan gambar Amara Majeed dalam risalah itu.

Amara Majeed ialah aktivis Islam dari AS yang memperjuangkan stereotaip anti-Islam. (Gambar Twitter)
COLOMBO:
Polis Sri Lanka dilaporkan silap mengenal pasti seorang aktivis Islam warga Amerika sebagai suspek dalam pengeboman di sekitar Colombo, Ahad lalu.

Semalam, polis mengeluarkan risalah dengan nama dan gambar 3 lelaki serta 3 wanita yang dikehendaki berkaitan serangan maut yang meragut lebih 250 nyawa.

Antara individu itu ialah seorang wanita dikenali sebagai Abdul Cader Fathima Khadhiya, yang disertakan sekeping gambar seorang wanita bertudung didakwa individu dikehendaki untuk disoal siasat.

Bagaimanapun, individu dalam gambar itu sebenarnya ialah Amara Majeed, seorang wanita Amerika yang ibu bapanya ialah pendatang asing yang menulis sepucuk surat terbuka kepada Presiden Donald Trump pada 2015 mengenai retoriknya terhadap umat Islam.

“Helo semua? Pagi ini kerajaan Sri Lanka tersilap kenal pasti saya sebagai salah seorang penyerang IS pada Hari Easter di Sri Lanka,” tulis Majeed di Facebooknya.

“Ini palsu sama sekali dan memandangkan masyarakat Islam sudah banyak menderita dengan isu pengawasan, saya tidak perlu lebih banyak dakwaan palsu dan pengawasan.”

Polis Sri Lanka pada Khamis mengeluarkan satu kenyataan mengesahkan gambar yang disiarkan bersama nama “Abdul Cader Fathima Khadhiya” bukannya suspek.

“Individu dalam gambar itu tidak dikehendaki untuk soal siasat,” menurut kenyataan ditandatangani jurucakap polis, Ruwan Gunasekera.

Katanya, seorang individu bernama Abdul Cader Fathima Khadhiya masih dikehendaki untuk membantu siasatan pengeboman itu.

Selain kesilapan itu, pihak berkuasa Sri Lanka turut mengubah angka korban dalam serangan itu daripada hampir 360 kematian kepada 253.

Semakan itu dibuat pihak berkuasa berkata, ada mangsa yang “dikira 2 kali” kerana mayat berkecai dalam serangan itu dan disalah kenal pasti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.