
Kelenjar prostat terletak di bawah pundi kencing bersebelahan rektum. Ia sebahagian daripada organ sistem reproduktif dan sistem pembuangan air kencing.
Fungsinya cukup besar. Ia jarang menimbulkan masalah pada usia muda dan satu-satunya kelenjar yang membezakan seorang lelaki dengan wanita.
Ramai lelaki tidak tahu kedudukan sebenar kelenjar prostat mereka dan hanya disedari apabila ia “menggugat” ketenteraman hidup terutama ketika seseorang lelaki mencecah “usia emas”.
Keadaan lebih buruk apabila beranggapan masalah prostat sebahagian proses penuaan.
Sebenarnya, masalah prostat adalah sejenis penyakit yang boleh dirawat dan komplikasinya dapat dicegah.
Namun lazimnya, pesakit lewat mendapatkan rawatan selepas berdepan pelbagai komplikasi termasuk kegagalan buah pinggang atau pundi kencing berfungsi serta mengalami jangkitan kuman secara berulang, kencing berdarah atau komplikasi batu karang.
Di Asia, dianggarkan 50 hingga 59% kes prostat membabitkan warga tua.
Tiga masalah utama kelenjar prostat ialah Benign hyperplasia prostate, barah prostat dan radang prostat.
Benign hyperplasia prostate (BPH)
Ketika bayi baru dilahirkan, saiz prostatnya hanya sebesar kacang tanah.
Tumbesaran kelenjar ini bermula pada peringkat baligh, sehingga individu terbabit mencecah usia 20-an.
Ia kekal dengan saiz yang sama dalam tempoh beberapa tahun.
Bagaimanapun, berlaku perubahan hormon setelah individu terbabit melangkau usia 40-an apabila kelenjar prostat mula membesar.
Ketika itu, saiznya yang sebesar sebiji langsat menjadi sebesar ciku.
Keadaan ini lebih dikenali sebagai BPH. Ia adalah satu keadaan yang bermaksud bukan barah.
Hyperplasia bermaksud pembesaran secara berlebihan sekali gus mengakibatkan diameter uretra menjadi sempit dan aliran air kencing terganggu.
Penghidapnya berasa tidak selesa dan mengalami beberapa gejala seperti sukar membuang air kecil; terpaksa meneran apabila membuang air kecil; aliran kencing tidak lancar atau terputus-putus; kencing tidak lawas; dan tidak berupaya membuang air kecil.
Rawatan BPH bergantung kepada tahap keseriusannya.
Bagi yang sederhana, memadai dengan ubat-ubatan.
Rawatan pembedahan secara teropong hanya dilakukan untuk kes yang serius.
Barah prostat
Tidak seperti BPH yang mana tumbesaran kelenjar ini bersifat setempat, dalam sesetengah kes barah ini boleh merebak ke bahagian tubuh lain.
Sesetengah pesakit dikesan melarat ke tulang hingga membahayakan nyawa.
Masalah ini dapat dirawat sekiranya barah bersifat setempat.
Justeru, pengesanan awal penting bagi menangani masalah ini.
Radang prostat (prostatitis)
Jangkitan dikatakan berpunca daripada kuman yang menyebabkan prostat mengalami radang.
Selain ketidaklancaran air kencing, pesakit mengalami demam, seram sejuk, sakit ketika kencing serta sakit antara buah zakar dan dubur. Rawatan banyak bergantung kepada punca.
Jika ia disebabkan jangkitan kuman akut, rawatan segera dan secara agresif dengan ubat antibiotik perlu dilakukan.
Sumber spanco.com.my
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]