
Pada masa ini, Pulau Pinang memperoleh bekalan airnya dari Sungai Muda yang dikongsi dengan Kedah. Bekalan itu dijangka memenuhi keperluan sehingga 2025.
Berpandukan tarikh akhir itu dan kemerosotan paras air berikutan musim kemarau berpanjangan, Pulau Pinang kini melihat ke arah Perak sebagai sumber bekalan air jangka panjangnya.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata hari ini bahawa Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli menerima cadangan inisiatif pembiayaan swasta (PFI) bagi projek tersebut.
Ia merupakan beberapa cadangan yang dikemukakan setakat ini tanpa sebarang keputusan muktamad, dan bergantung pada perbincangan dengan kerajaan negeri Perak, katanya.
Beliau berkata, perbincangan kini tertangguh kerana Perak mahu menjual air terawat kepada Pulau Pinang, sementara negeri berkenaan berminat untuk mendapatkan air mentah dari Sungai Perak.
“Kementerian mahu kami terus berunding bagi mencari jalan tengah. Bagaimanapun projek ini pasti dilaksanakan.
“Jika Perak tidak menjual air kepada kami, air itu akan berakhir di laut juga. Kami boleh memanfaatkan air lebih itu,” katanya selepas merasmikan Persidangan Keselamatan Air anjuran Bank Pembangunan Asia dan Penang Institute di sini, hari ini.
Pada 2009, kerajaan Pulau Pinang mengemukakan cadangan untuk menyalurkan bekalan air mentah dari Sungai Perak dengan mengepamnya dengan menggunakan terowong ke Sungai Ijok. Kedua-dua sungai berada di Perak. Bagimanapun Sungai Ijok adalah anak Sungai Kerian yang dikongsi bersama oleh Pulau Pinang, Perak dan Kedah.
Menurut rancangan itu, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBA) akan membina sebuah loji rawatan air di bahagian Sungai Kerian di sebelah Pulau Pinang selepas terowong tersebut siap dibina.
Kerajaan pusat meluluskan rancangan itu pada 2012, tetapi ia tidak dilaksanakan.
Projek berkenaan yang dinamakan Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak dijangka memenuhi keperluan air Pulau Pinang hingga 2050.
Pembinaan terowong sejauh 14.8km itu dijangka menelan belanja RM2 bilion di pihak kerajaan persekutuan. Sementara itu, kos pembinaan loji rawatan air di Sungai Kerian akan ditanggung oleh PBA.
Skim penyaluran air 4 fasa itu dijangka menambah secara beransur-ansur bekalan air ke Pulau Pinang sehingga 1,000 juta liter sehari.
Perak bagaimanapun tidak berminat dengan projek tersebut. Sebaliknya kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini menawarkan untuk menjual air terawat kepada Pulau Pinang pada kadar 70 sen setiap 1,000 liter.