Pelayar buta bukti kemampuan rentas Lautan Pasifik

Pelayar buta bukti kemampuan rentas Lautan Pasifik

Iwamoto, hilang daya penglihatan pada usia 16 tahun, melakukan pelayaran untuk mengumpul derma kebajikan, termasuk usaha mencegah masalah penglihatan.

Seorang pelayar buta Jepun berjaya menamatkan pelayaran tanpa henti rentas Lautan Pasifik lapor media tempatan Jepun.

Dia juga menjadi orang hilang penglihatan pertama mencipta rekod dunia mengemudi sebuah kapal layar merentasi lautan luas.

Mitsuhiro Iwamoto tiba di sebuah pelabuhan di Fukushima dengan menaiki kapal layar sepanjang 12 meter pada 20 April selepas 2 bulan bertolak dari California, Amerika Syarikat (AS).

Iwamoto, 52, penduduk San Diego, berlayar dari bandar raya AS itu pada 24 Februari lalu bersama Doug Smith, seorang penunjuk arah yang membantunya secara lisan dengan membekalkan maklumat seperti arah tiupan angin.

Ia merupakan percubaan ke-2 Iwamoto selepas pelayarannya sebelum ini kira-kira 6 tahun lalu terpaksa dpendekkan selepas kapal layarnya melanggar seekor paus lalu karam.

“Saya sudah pulang. Terima kasih,” kata Iwamoto semasa majlis sambutan kepulangannya selepas kapal layar itu memasuki Fukushima sekali gus menamatkan pelayaran sejauh 14,000 kilometer.

“Saya tidak menyerah kalah dan saya membuatkan impian menjadi kenyataan,” kata Iwamoto yang dipetik akhbar Jepun, Kyodo News.

Ia adalah pelayaran rentas pertama oleh seorang pelayar buta, menurut Kyodo News.

Iwamoto, hilang daya penglihatan pada usia 16 tahun, melakukan pelayaran itu untuk mengumpul derma kebajikan, termasuk usaha mencegah masalah penglihatan, menurut laman webnya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.