Jangan paksa komuniti Bajau Laut terima idea pembangunan kita, kata NGO

Jangan paksa komuniti Bajau Laut terima idea pembangunan kita, kata NGO

Tidak salah bagi kerajaan berusaha mengasimilasikan komuniti berkenaan untuk tujuan penyediaan pendidikan, penjagaan kesihatan dan kebajikan lain.

Komuniti Bajau Laut adalah sub kumpulan masyarakat Sama-Bajau yang secara tradisinya berasal dari gugusan kepulauan Sulu di Filipina. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memberi amaran berhubung langkah memaksa kumpulan minoriti seperti komuniti Bajau Laut supaya mengasimilasi ke dalam masyarakat arus perdana, sebaliknya mendesak kerajaan berunding dengan mereka sebelum melaksanakan apa-apa langkah untuk mengubah keadaan.

Persatuan Pengurusan Madrasah Al-Hikmah yang bekerja dengan kanak-kanak tanpa kerakyatan berkata, tidak salah bagi kerajaan berusaha mengasimilasikan komuniti berkenaan untuk tujuan penyediaan pendidikan, penjagaan kesihatan dan kebajikan lain.

Bagaimanapun, bendahari persatuan, Fong Ming San berkata, ia mesti dilakukan dengan cara yang boleh diterima oleh kumpulan itu.

“Kita tidak boleh mengubah mereka secara paksa,” katanya kepada FMT. “Mereka akan tertekan dan membawa kepada budaya alkoholisme. Lepas itu apa?

“Ubah cara berfikir dan kebiasaan mereka dahulu secara perlahan-lahan. Mudahkan (perubahan) itu.”

Masalahnya kata beliau, komuniti Bajau Laut, yang juga dikenali sebagai gipsi laut, mahu diasimilasikan sepenuhnya ke dalam masyarakat dalam tempoh beberapa tahun sahaja.

“Misalnya, sebuah sekolah dibina dan ibu bapa dijangka menghantar anak mereka ke situ sama ada mereka suka atau tidak. Itu melampau,” katanya.

Komuniti Bajau Laut adalah sub kumpulan masyarakat Sama-Bajau yang secara tradisinya berasal dari gugusan kepulauan Sulu di Filipina.

Umumnya mereka merupakan penyelam yang cekap dan dikenali dengan kebolehan menyelam untuk tempoh yang lama. Menangkap ikan adalah kegiatan ekonomi utama komuniti ini, walaupun sebahagian mereka terlibat dalam kegiatan seperti memelihara rumpai laut.

Pelbagai usaha diambil oleh kerajaan Malaysia, Indonesia dan Filiina untuk menempatkan mereka di daratan, tetapi ramai yang memilih untuk mengekalkan cara hidup tradisi mereka tinggal di dalam bot dalam komuniti kecil mereka yang terasing.

Fong berkata, beliau mengalu-alukan usaha kerajaan membantu orang tanpa kerakyatan seperti komuniti Bajau Laut. Bagaimanapun beliau mengingatkan tentang risiko kemusnahan budaya komuniti berkenaan dalam proses itu.

“Pandangan saya, kita perlu berunding dan bertanya mereka tentang keinginan mereka sendiri. Tampak sekarang, kita mahu menentukan apakah yang baik untuk mereka seolah-olah kita tahu semuanya.

“Anda mahu menempatkan mereka di suatu tempat yang asing bagi mereka, ubah keseluruhan cara hidup dan paksa mereka jadi seperti anda. Anda sebenarnya mahu membunuh budaya dan identiti mereka.

“Akhirnya mereka bukan lagi orang Bajau Laut, tetapi orang biasa seperti anda dan saya dengan identiti serta cara hidup yang dahulunya asing kepada mereka. Bukankah ini pembersihan etnik?”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.