
Beliau berkata, perkara itu telah diputuskan pihak mahkamah dan tiada isu berbangkit.
“Bukan sudah selesai di mahkamah, sudah dapat keputusan, sudahlah kira selesai,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri sesi ‘Townhall’ Maqasid Syariah peringkat Wilayah Persekutuan, hari ini.
Semalam, Hakim Nordin Hassan berkata 3 buku IRF yang diharamkan itu berkemungkinan akan memudaratkan ketenteraman dan kepentingan awam.
Nordin berkata pihak berkuasa juga yakin buku-buku berkenaan tidak selaras dengan ajaran Sunnah Wal Jamaah dan juga boleh menyebabkan kekeliruan dalam kalangan orang Islam.
Tiga buku itu ialah “Islam Tanpa Keekstreman: Berhujah Untuk Kebebasan”, iaitu terjemahan buku tulisan ahli akademi Turki, Mustafa Akyol, dan 2 buku daripada siri yang disunting Pengarah IRF, Dr Farouk Musa.
Susulan keputusan mahkamah itu, Farouk berkata dia bimbang keputusan mahkamah itu hanya akan mengalakkan pihak berkuasa mengawal buku mengenai perkara-perkara berkaitan Islam.
“Nampaknya menteri dalam negeri mempunyai budi bicara mutlak dalam mengharamkan buku yang tidak mengikut versi pihak berkuasa agama seperti Jakim,” katanya merujuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
Farouk juga berkata kerajaan Pakatan Harapan tiada keberanian moral untuk membetulkan kesalahan pentadbiran lepas terutama dalam perkara berkaitan Islam.
“Malangnya, mereka tiada keberanian moral untuk berbuat demikian. Bagi saya, semua ini pada dasarnya mengenai kebebasan bersuara seperti yang dijamin Perkara 10 Perlembagaan kita,” katanya.
Kerajaan bantu tahfiz berisiko
Dalam perkembangan lain, Mujahid berkata kerajaan akan membantu lebih 400 pusat tahfiz berdaftar seluruh negara yang terdedah kepada risiko kebakaran menerusi peruntukan RM50 juta seperti diumumkan dalam Belanjawan 2019.
Beliau berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Negeri untuk mengenal pasti pusat tahfiz berisiko.
“Kita sudah dimaklumkan mengenai berita (pusat tahfiz berisiko) itu dan sebab itu dalam Belanjawan 2019 ada peruntukan RM50 juta khas untuk pusat-pusat tahfiz.
“Kita akan menggunakan peruntukan terbabit untuk menyelesaikan isu berbangkit seperti infrastruktur, kebersihan, keselamatan dan sebagainya,” katanya.
Mujahid berkata, peruntukan yang akan disalurkan kepada pusat tahfiz terbabit adalah berdasarkan keperluan serta projek yang akan dilaksanakan.
“Kita juga akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) membabitkan isu keselamatan kerana tidak mahu pusat pembelajaran ini terdedah kepada risiko,” katanya.
Semalam, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin mendedahkan sebanyak 495 pusat tahfiz berdaftar di seluruh negara terdedah kepada risiko kebakaran kerana gagal mematuhi syarat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Jumlah itu, antara 1,267 pusat tahfiz berdaftar yang sudah menjalani pemeriksaan dengan baki 772 premis disahkan selamat.
Pihaknya menerusi JBPM memberi masa 3 bulan kepada pusat tahfiz terbabit untuk menyusun semula susun atur dalaman serta laluan kecemasan dalam bangunan.