
Dahulu, katanya, kerajaan Barisan Nasional didakwa memberi dedak dan gula-gula pilihan raya kerana meluluskan projek pembangunan menjelang PRK.
“Dahulu, ini adalah rasuah! Ini gula-gula pilihan raya! Ini dedak! Ini menyalahi undang-undang pilihan raya!
“Sekarang, kerajaan Pakatan Harapan meluluskan 49 projek pembangunan bernilai RM2.28 bilion di daerah Sandakan, Sabah,” tulisnya di Facebook hari ini.
Terdahulu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan kerajaan persekutuan menyediakan RM183 juta untuk membiayai 49 projek pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan sepanjang tahun ini untuk manfaat kira-kira 400,000 penduduk di Sandakan.
Antara projek itu ialah Rancangan Tebatan Banjir Sungai Anip dianggarkan bernilai RM40 juta, pembesaran Lapangan Terbang Sandakan bernilai RM80 juta, projek berkaitan industri berasaskan minyak dan kelapa sawit serta kemudahan jaringan pengangkutan untuk merancakkan ekonomi setempat.
Penamaan calon bagi PRK Sandakan akan diadakan Sabtu ini, susulan kematian penyandangnya yang juga Pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong Tien Fatt akibat serangan jantung pada 28 Mac lalu.
Kerusi Parlimen Sandakan mempunyai 39,777 pengundi yang terdiri daripada 49% Cina, 44% Bumiputera Islam dan 6% Bumiputera bukan Islam.
Semalam, BN mengumumkan ia tidak akan menurunkan calon pada PRK Sandakan, tetapi sedia menyokong parti pembangkang mesra BN lain yang berhasrat bertanding pada 11 Mei ini.
Pada 17 April lalu, PAS turut mengumumkan tidak akan bertanding dalam PRK Sandakan, tetapi akan menyokong calon parti pembangkang yang akan bertanding menentang PH.