Omar al-Bashir kini meringkuk dalam penjara, kata majlis tentera Sudan

Omar al-Bashir kini meringkuk dalam penjara, kata majlis tentera Sudan

Semua tokoh terkemuka rejim lepas, termasuk al-Bashir dan para komandernya kini berada dalam penjara dan harta mereka dirampas.

Ketua Majlis Peralihan Tentera Sudan, Abdel Fattah Burhan berjanji akan mempercepat peralihan kuasa kepada orang awam. (Gambar Reuters)
KHARTOUM:
Presiden Omar al-Bashir dan beberapa tokoh terkemuka rejim beliau kini meringkuk dalam penjara, ketua Majlis Peralihan Tentera Sudan (MTC) Abdel Fattah Burhan pada Ahad mengesahkan.

“Semua tokoh terkemuka bekas rejim, termasuk al-Bashir dan para komander kini meringkuk dalam penjara dan harta mereka dirampas,” kata Burhan dalam temu bual dengan stesen penyiar rasmi Sudan.

Agensi berita Turki, Anadolu melaporkan, Burhan juga berkata, wang tunai AS$350,000; €7 juta (AS$7.8 juta) dan beberapa bilion paun Sudan ditemui di kediaman al-Bashir.

Beliau berkata, tiada tahanan politik di negara itu serta tokoh kanan dalam perkhidmatan keselamatan dan perisikan telah dibersarakan selepas disiasat.

MTC akan menyoal siasat sesiapa yang melakukan jenayah semasa demonstrasi baru-baru ini, katanya.

Mengulas tuntutan parti politik agar kuasa diserahkan kepada kerajaan awam, beliau berjanji akan mempercepat peralihan kuasa kepada orang awam.

Burhan berkata, “Kami bukan melakukan kudeta, sebaliknya revolusi popular dan kami tidak berhasrat untuk terus berkuasa.”

Katanya, beliau lebih suka jika sebuah kerajaan teknokrat dibentuk tidak lama lagi.

“Penstrukturan semula negara akan mengambil masa yang lama kerana isu rasuah dalam institusi negara,” katanya.

Tentera Sudan menggulingkan Presiden Omar al-Bashir, yang memerintah negara itu sejak 1989 susulan tunjuk perasaan popular yang berlangsung selama berbulan-bulan bagi menentang pemerintahannya.

Tentera turut menubuhkan sebuah majlis tentera untuk mentadbir negara itu dalam tempoh peralihan selama 2 tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.