
Beliau berkata demikian ketika pentadbirannya merancang untuk menebus guna 4,500 ekar tanah di selatan Pulau Pinang.
Chow berkata projek Bayan Lepas menyaksikan kawasan tersebut menjadi hab perkilangan teknologi antarabangsa.
Tanpa projek itu, ekonomi Bayan Lepas akan kekal berasaskan pertanian. Atas usaha Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), hampir 1,000 ekar tanah di timur laluan lapangan terbang ditebus guna dan ekonomi negeri hidup.
Lebihan tanah itu juga menyaksikan pembentukan kawasan perindungan bebas pertama Malaysia, di mana syarikat elektronik seperti Intel, Osram dan Bosch mendirikan kilang pembuatan di situ.
“Kalau keputusan itu tidak dibuat 50 tahun lalu, apakah tempat ini akan sama seperti dulu, dengan bendang, kebun kelapa dan ladang getah?
“Saya pasti keputusan yang dibuat 50 tahun lalu adalah keputusan bijak. Ia mengubah Pulau Pinang daripada kampung nelayan dengan kadar pengangguran yang tinggi kepada ekonomi antarabangsa.
“Kita boleh tengok sejarah dan berbangga kerana hari ini, rakyat Pulau Pinang ada kerja yang baik, gaji yang baik dan taraf hidup yang tinggi,” katanya di pelancaran sambutan ulangtahun PDC ke-50 di Bayan Baru hari ini.
Beliau berkata rancangan pentadbirannya untuk menebus guna tanah di selatan negeri itu akan memacu ekonomi negara, dan mahu PDC membantunya.
Beliau berkata banyak peluang menanti PDC menerusi peranan aktif dalam melaksanakan projek tebus guna tanah dan Rancangan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).
PTMP merupakan suatu rancangan bernilai RM46 bilion melibatkan pembinaan lebuh raya, laluan rel dan mod pengangkutan lain dengan melelong pulau-pulau buatan kepada pembida tertinggi.
Majlis Perancang Fizikal Negara pada 18 April memberikan nasihat 18 perkara kepada kerajaan negeri berhubung projek 3 pulau itu, atau juga dikenali sebagai Tebus Guna Selatan Pulau Pinang.
Projek itu belum mendapat kelulusan pengawal selia alam sekitar persekutuan kerana penilaian kesan alam sekitar kedua sedang dijalankan, dan paparan kepada orang awam akan diadakan pada 29 April.
Keutamaan kerajaan negeri adalah meluaskan Lapangan Terbang Pulau Pinang kepada salah satu pulau buatan itu dan juga membina sebuah hab perindustrian berteknologi tinggi.