Bekas exco Johor bebas tuduhan rasuah, SPRM akan fail rayuan

Bekas exco Johor bebas tuduhan rasuah, SPRM akan fail rayuan

SPRM akan memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi dalam tempoh 14 hari seperti ditetapkan oleh mahkamah.

PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuat rayuan kepada Mahkamah Tinggi susulan keputusan Mahkamah Sesyen Johor Baharu membebaskan bekas exco kerajaan Johor Abd Latif Bandi daripada tuduhan rasuah.

“Susulan keputusan Mahkamah Sesyen Johor Baharu hari ini melepas dan membebaskan tanpa dipanggil membela diri bekas Exco Johor, Abd Latif Bandi bersama 2 individu lain daripada 37 pertuduhan rasuah serta pengubahan wang haram berjumlah lebih RM30 juta, SPRM akan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Tinggi hasil perbincangan bersama timbalan pendakwa raya,” kata SPRM dalam satu kenyataan hari ini.

SPRM turut memaklumkan, rayuan akan dibuat dalam tempoh 14 hari seperti ditetapkan pihak mahkamah.

Terdahulu Abdul Latif, anak lelaki beliau dan seorang perunding hartanah dibebaskan daripada pertuduhan rasuah dan pengubahan wang di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini.

SPRM akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Johor Bahru membebaskan bekas exco Johor, Abdul Latif Bandi (tengah) dan 2 yang lain daripada 37 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang.

Latif, 51, anaknya Ahmad Fauzan Hatim dan Amir Sharffuddin Abd Raub meminta dibicarakan berhubung 37 tuduhan rasuah – 33 daripadanya di bawah Seksyen 28(1) Akta SPRM 2009 dan 4 tuduhan di bawah Seksyen 32(8)(c) dan Seksyen 89 Akta Anti Pengubahan Wang 2001 – melibatkan wang berjumlah RM30 juta.

Hakim Mahkamah Sesyen Kamarudin Kamsun berkata, pihak pendakwa gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Pertuduhan tersebut adalah berkaitan dakwaan rasuah berhubung pemberian lot rumah Bumiputera kepada orang awam dan jumlah sumbangan kepada tabung perumahan kerajaan Johor bagi Projek Eco Botani di Pulai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.