
Latif, 51, anaknya Ahmad Fauzan Hatim dan Amir Sharffuddin Abd Raub meminta dibicarakan berhubung 37 tuduhan rasuah – 33 daripadanya di bawah Seksyen 28(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan 4 tuduhan di bawah Seksyen 32(8)(c) dan Seksyen 89 Akta Anti Pengubahan Wang 2001 – melibatkan wang berjumlah RM30 juta.
Mereka bertiga kelihatan memeluk anggota keluarga masing-masing di luar mahkamah sebaik sahaja dibebaskan.
Hakim Mahkamah Sesyen Kamarudin Kamsun berkata, pihak pendakwa gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
Pertuduhan tersebut adalah berkaitan dakwaan rasuah berhubung pemberian lot rumah Bumiputera kepada orang awam dan jumlah sumbangan kepada tabung perumahan kerajaan Johor bagi Projek Eco Botani di Pulai.
Laporan media menyebut pihak pendakwa memanggil 63 saksi dan mengemukakan lebih 1,071 eksibit dalam perbicaraan selama 40 hari itu.
Pada April 2017, Latif meletak jawatan sebagai pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Johor selepas dihadapkan dengan pertuduhan rasuah.
Beliau memegang jawatan itu sejak Mei 2013.
Latif sebelum itu bercuti berikutan siasatan ke atas anak dan pegawai khas beliau yang ditahan oleh SPRM berhubung dakwaan melakukan kesalahan rasuah.